Malah, ada antara mereka yang turut gemar melakukan aktiviti lasak untuk mencabar kemampuan diri.

Menyedari hakikat itu, syarikat pengedar peralatan sukan rekreasi dan lasak, Corezone telah mengambil langkah proaktif dengan membuka sebuah kedai konsep baharu yang menyediakan pelbagai kelengkapan sukan dan aktiviti.

Pengarah Urusan Corezone, Leong Dee Lu berkata, kedai konsep tersebut yang terletak di Pusat Komersial LGSB, Sungai Buloh, Selangor itu bukanlah cawangan baharu, tetapi merupakan premis yang dipindahkan dari tempat lama yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

“Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu, ramai pemilik premis yang mengambil langkah selamat dengan mengecilkan saiz operasi tetapi kami mengambil langkah sebaliknya.

“Jika dibandingkan dengan premis lama di Petaling Jaya, Corezone di Sungai Buloh ini memiliki saiz yang jauh lebih besar.

“Kami mengambil risiko untuk membesarkan operasi kedai kerana ingin menawarkan lebih banyak barangan kepada pengguna di negara ini terutama mereka yang meminati sukan lasak dan rekreasi,” katanya pada majlis perasmian premis berkenaan yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd., Datuk V. Radha Krishnan baru-baru ini.

Menurut Dee Lu lagi, premis yang berkeluasan kira-kira 2,000 meter persegi itu menempatkan lebih daripada 30 jenama antarabangsa bagi aktiviti sukan dan rekreasi seperti mendaki gunung, memanjat cenuram, perlumbaan pengembaraan, kembara berbasikal, kayak dan larian denai.

Lebih menarik katanya, Corezone turut menawarkan pakaian dan peralatan bagi aktiviti ekstrem di luar negara seperti pendakian gunung bersalji.

Antara jenama barangan yang dipasarkan di Corezone termasuklah Millet, Lafuma, Eider, Original Buff, Sea To Summit, La Sportiva, Komperdell, Kuhl, Igloo, Camelback, Lifestraw dan Suunto.

Dalam pada itu, Radha Karishnan dalam ucapannya berkata, Corezone merupakan satu-satunya kedai konsep di negara ini yang menawarkan peralatan sukan rekreasi dan lasak yang paling lengkap.

“Memang banyak kedai yang menjual pelbagai barangan rekreasi tetapi Corezone sangat berbeza kerana ia menawarkan lebih banyak barangan terutama daripada jenama antarabangsa yang mungkin tidak terdapat di mana-mana kedai lain.

“Saya berharap dengan pembukaan premis baharu Corezone ini, ia akan menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti sukan dan rekreasi,” katanya.