Menurut pemilik jenama telekung Colorfulreben itu, dia pernah bekerja sebagai guru sebelum mengusahakan Pusat Tuisyen Titian Cahaya selama 12 tahun.

“Pada tahun 2013 saya mengambil keputusan menjual pusat tuisyen tersebut memandangkan anak-anak sudah dewasa dan bekerja.

“Selepas itu saya rasa sangat bosan kerana tidak ada aktiviti yang boleh dilakukan apatah lagi setelah tinggal berdua bersama suami di rumah.

“Justeru, pada tahun sama saya mengikuti kelas jahitan menjahit telekung untuk diri sendiri sahaja,” cerita nenek kepada dua orang cucu itu.

Ujar bekas guru mata pelajaran Kimia dan Matematik itu, semuanya yang berlaku tanpa dirancang. Selepas menyiapkan jahitan telekung tersebut beliau memuat naik di laman Facebook dan ramai memberi komen positif malah ada yang membuat tempahan.

Bertitik tolak dari situ dia mengusahakan perniagaan telekung yang dijahit sendiri tanpa bantuan pekerja.

Sehari dia mampu menyiapkan sekurang-kurangnya tiga helai telekung.

Walaupun sibuk menyiapkan tempahan pelanggan, Cheknor akan mengosongkan jadual jahitannya pada hujung minggu untuk meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

Dia ingin mengajak wanita di luar sana untuk mengusahakan perniagaan seperti ini kerana ia boleh dilakukan di rumah sambil menjaga anak-anak.

Lumayan

“Pekerjaan ini tidak memerlukan kos yang tinggi kerana ia beroperasi di rumah malah boleh dibuat sendiri tanpa ramai pekerja.

“Pulangannya juga lumayan iaitu sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan mengikut kesungguhan masing-masing,” jelasnya wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Jika dahulu Cheknor hanya bekerja menggunakan dua mesin jahit, kini dia menambah tiga lagi mesin jahit canggih yang ditempatkan di bilik jahitannya.

Mengulas mengenai perusahaan Colorfulreben ini, Cheknor memberitahu, ia beroperasi seratus peratus secara online bermula daripada tempahan sehinggalah produk tersebut sampai kepada pelanggan.

Tempahan boleh dibuat di Facebook serta Instagram tetapi mereka perlu membuat bayaran penuh terlebih dulu.

Cheknor juga meletakkan ukuran telekung di laman sosial bagi memudahkan pelanggan membuat rujukan untuk saiz yang betul.

Telekung yang telah siap dijahit akan sampai kepada pelanggan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Colorfulreben bukan hanya menyediakan telekung untuk orang dewasa bahkan untuk kanak-kanak bermula satu tahun.

Selain itu, beliau juga menjahit telekung mini untuk digunakan oleh wanita ketika mengembara atau bercuti dan mengerjakan ibadah haji serta umrah. Dia sangat mementingkan keselesaan pelanggan maka, setiap jahitan dan potongan kain dilakukan dengan teliti serta cermat.

Fabrik utama yang digunakan dalam penghasilan telekung Colorfulreben adalah likra 350 gram yang lembut dan sejuk dipakai.

Tepati masa

“Kain ini tidak jarang dan tidak panas serta sangat praktikal digunakan dengan cuaca di Malaysia.

“Bagi pemilihan warna pula, saya banyak menggunakan rona seperti putih, hitam, merah jambu, ungu, kelabu dan firus kerana banyak mendapat sambutan daripada pelanggan,” tuturnya.

Telekung keluaran Colorfulreben ditawarkan pada harga antara RM60 sehingga RM120.

Tambah Cheknor, mengusahakan perniagaan sebegini memerlukan kejujuran dan menepati masa seperti yang dijanjikan kepada pelanggan.

Pernah terjadi pada tahun lalu, beliau dimasukkan ke hospital selama satu bulan kerana masalah kesihatan.

Sehubungan itu, Cheknor memulangkan kembali wang pelanggan dan menjelaskan keadaan tersebut kerana tidak mahu mereka menunggu terlalu lama.

Akuinya, perusahaan itu bukanlah dilakukan semata-mata kerana duit tetapi ingin memberi contoh terbaik kepada anak-anak serta wanita di luar sana.