Sebagai solusi, ia sering kali diberikan kepada golongan kurang berkemampuan atau dijadikan kain buruk untuk kegunaan di rumah.

Bagaimana pula dengan coli atau baju dalam wanita? Semestinya dibuang. Mana boleh diberi kepada orang lain, pasti janggal rasanya.

Sebenarnya, coli lama atau yang rosak tidak perlu dibuang, sebaliknya dikitar semula.

Syarikat pengeluar pakaian dalam wanita, Wacoal Malaysia (Wacoal) baru-baru ini menganjurkan kempen Bra Recycle selama dua bulan mulai 1 Ogos lalu bertujuan untuk mengumpul coli-coli lama atau rosak.

Inisiatif yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan mengitar semula coli-coli yang terkumpul.

Pengurus Jualan Wacoal Malaysia, Wong Lee Yan berkata, selain memberi peluang kepada wanita untuk memanfaatkan coli-coli lama, kempen itu juga menyokong program kitar semula bagi memelihara alam sekitar.

Pada kempen tersebut, syarikat menyediakan beg kertas percuma sejak 1 Ogos hingga 30 September lalu di empat cawangan di sekitar Lembah Klang untuk golongan wanita mengisi coli-coli lama mereka. Setiap beg kertas boleh memuatkan sebanyak tiga helai coli.

“Mereka hanya perlu mengisi coli ke dalam beg kertas itu dan kemudian menutup menggunakan pelekat supaya kemas serta tidak mudah terbuka atau dibuka oleh orang lain,” katanya.

Empat cawangan Wacoal itu termasuklah di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Sunway Velocity, Empire Shopping Gallery dan IOI City Mall.

Sebagai penghargaan, syarikat itu turut memberi baucar diskaun untuk pembelian barangan di Wacoal bagi setiap beg kertas yang diserahkan.

“Kempen ini baru sahaja dimulakan di Malaysia tahun lalu dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

“Sehingga kini, kira-kira 18,000 coli lama dan rosak berjaya dikumpul untuk dikitar semula,” katanya.

Coli-coli lama yang dikumpul itu kemudiannya dihantar ke kilang pemprosesan untuk dijadikan sejenis bahan api pejal yang dinamakan refuse paper and plastic fuel (RPF) bagi kegunaan industri.

RPF dihasilkan daripada bahan buangan kertas dan plastik termasuk bahan serat selepas dilupuskan dalam suhu yang tinggi.

Secara keseluruhan, lebih daripada 179,200 coli dikumpulkan oleh syarikat berkenaan di seluruh dunia sejak kempen itu dilancarkan pada tahun 2008 dan menghasilkan sejumlah 17.9 tan bahan api RPF.

Tambah Lee Yan, sepanjang kempen itu berlangsung, pihaknya mendapati masih ramai wanita di Malaysia berasa malu memberikan coli lama mereka untuk dikitar semula.

Dalam pada itu, Lee Yan turut memberikan beberapa petua penjagaan bagi memastikan coli tahan lama dan selesa dipakai seperti tidak membasuh coli menggunakan mesin basuh, tidak diseterika, tidak dibasuh kering dan tidak menggunakan sebarang peluntur.

Bakteria

“Setelah dibasuh, sidai coli di tempat yang teduh tetapi mendapat cahaya matahari. Jangan jemur di bawah sinar matahari bagi mengelakkan fabrik coli yang kebanyakannya diperbuat daripada kapas dan renda itu daripada rosak.

“Selain itu, jangan sidai coli di bilik air atau di tempat yang gelap serta lembap kerana ia boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria yang boleh mengakibatkan jangkitan atau kegatalan pada payudara,” terangnya.

Lee Yan menambah, berdasarkan kajian, sebanyak 80 peratus daripada wanita di seluruh dunia memandang remeh terhadap coli yang dipakai kerana mereka membelinya hanya berdasarkan pada faktor cantik, harga berpatutan dan coli yang ada sudah lusuh.

Malah, ramai wanita masih lagi tidak tahu memilih dan memakai coli bersesuaian dengan bentuk badan.

Menurutnya, bagi pemakaian coli baharu, wanita perlu memulakan dengan cangkuk yang paling longgar dan jika coli terletak elok pada tubuh tanpa memberi kesan ketat, ini bermakna coli itu sesuai dengan pemakai.

“Coli yang tidak sesuai akan menyebabkan payudara jatuh, sakit belakang dan isi di kiri kanan menggeleber.

“Disebabkan itu, adalah penting untuk wanita memilih dan memakai coli yang sesuai dengan mereka,” katanya lagi. – Bernama