Berbanding dahulu amat sukar untuk penulis-penulis baharu berjinak-jinak dalam bidang penulisan untuk menerbitkan hasil karya kerana tiada platform untuk mereka.

Namun dengan wujudnya syarikat penerbitan alternatif ini ruang dan peluang untuk penulis baharu menerbitkan hasil karya mereka terbuka luas.

Malah kini mereka yang tiada latar belakang dalam bidang penulisan tetapi berbakat dalam bidang tersebut boleh menerbitkan hasil karya mereka. Johan Radzi Ahmad Zahar, 24, salah seorang penulis baharu yang berpeluang menerbitkan hasil karyanya.

Bukunya yang berjudul Tinju dan Peluru menampilkan gabungan cerpen pendek yang ditulisnya dari tahun 2013 hingga 2016.

Buku tersebut diterbitkan pada April lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Saya telah menyimpan hasrat untuk menjadikan tulisan kumpulan cerpen ini dalam satu buku. Bagi merealisasikan impian tersebut saya menghantar e-mel kepada syarikat penerbitan buku Roman untuk menyatakan tentang hasrat saya ini.

Isi masa

"Maklum balas yang mereka berikan amat positif, setelah mengadakan beberapa pertemuan untuk perbincangan buku ini berjaya diterbitkan," jelas pemuda yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor.

Tambahnya, untuk naskhah pertamanya itu mengandungi 15 cerpen yang dihasilkannya.

Pada mulanya cerpen-cerpen itu ditulis hanya sekadar untuk mengisi masa terluang. Ia kemudiannya disiarkan di majalah sastera dan juga beberapa portal-portal penulisan.

Minatnya dalam bidang penulisan bermula sejak di bangku sekolah lagi. Ia kemudiannya menjadi semakin serius sejak dia melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Menulis memberi kepuasan kepada saya sebab itu saya suka berbuat demikian.

"Walaupun sibuk dengan pengajian saya akan mencari masa untuk menulis," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Johan menjelaskan, dalam naskhah itu cerpen berjudul Perempuan Yang Pulang Ke Lautan mempunyai cabarannya yang tersendiri untuk disempurnakan penulisannya.

Untuk tajuk itu idea tersebut adalah berdasarkan kisah kehilangan pesawat MH370 dari dua perspektif.

"Cerpen ini saya menggambarkan bagaimana perasaan apabila seseorang itu berhadapan dengan kehilangan.

"Idea ini memang diilhamkan daripada kisah kehilangan pesawat MH370. Cabarannya adalah bagaimana untuk saya mengolahnya supaya ia tidak mengundang kontroversi jika terdapat banyak persamaan," ujarnya.

Melalui cerpen tersebut juga, dia telah memenangi anugerah Sasterawan Muda 2014 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dengan terbitnya naskhah pertamanya itu ia memberi motivasi kepada Johan untuk terus berkarya.

"Saya bercadang untuk menerbitkan novel pertama yang berkisar jenayah pada masa hadapan.

"Saya mahu mengutip seberapa banyak pengalaman yang membolehkan saya mengarang novel pertama dengan baik memandangkan saya akan melakukan amali undang-undang bagi menyempurnakan pengajian saya," tegasnya.