Data itu dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) untuk desa yang sebahagian besar penduduknya terdiri daripada golongan petani.

“Berdasarkan data Puskesmas, terdapat 225 kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda kerdil. Kami tidak pernah menyangka perkara ini akan terjadi,” kata Zainal ketika ditanya mengenai isu kerdil di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Kerdil berlaku akibat kekurangan zat makanan kepada bayi sejak dalam rahim ibu sehingga berusia dua tahun. Keadaan itu menyebabkan perkembangan otak dan tubuh kanak-kanak terbantut.

Kegagalan tumbesaran boleh berlaku ketika dalam kandungan dan semasa dilahirkan dengan berat bayi kurang daripada 2.5 kilogram (kg) atau panjang tidak sampai 48 sentimeter.

Penyebab utama keadaan itu berlaku adalah disebabkan cara pemakanan yang tidak sihat, kekurangan makanan, gaya hidup tidak bersih atau mendapat jangkitan kuman.

Selain itu, berkahwin dan melahirkan anak pada usia muda juga antara penyebab berlakunya masalah berkenaan.

Data Penyelidikan Kesihatan Asas (Riskesda) 2010 menunjukkan terdapat 23.2 peratus kehamilan direkodkan pada usia antara 10 hingga 19 tahun selain perkahwinan dan kehamilan pada usia muda berisiko tinggi untuk melahirkan bayi yang mempunyai masalah itu.

Ketika ini, kira-kira 37 peratus atau 39 juta kanak-kanak di Indonesia mengalami masalah pembesaran.

Gaya hidup

Menurut Zainal, beliau menyedari punca utama keadaan itu berlaku di desa berkenaan adalah disebabkan oleh faktor kebersihan dan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.

“Beberapa kawasan di desa kami agak sukar untuk mendapat bekalan air bersih dan gaya hidup masyarakat yang kurang peka terhadap aspek kebersihan,” ujarnya.

Kata Zainal lagi, walaupun sudah banyak kes tersebut dilaporkan berlaku, masyarakat masih belum memberikan perhatian serius terhadap perkara berkenaan.

“Jika sebelum ini, fokus diberikan terhadap infrastruktur, namun pada tahun ini kami mula memberi perhatian dengan menyediakan makanan tambahan kepada bayi serta ibu hamil.

“Kami juga membina telaga air dan menekankan isu kebersihan dalam kalangan masyarakat,” katanya yang turut mengakui dana desa yang diperuntuk menurun sebanyak 20 peratus.

Sehubungan itu, Zainal berharap, menerusi langkah tersebut ia dapat mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mengalami masalah kekerdilan.

Sementara itu, menurut Profesor daripada Fakulti Kesihatan Masyarakat Universiti Indonesia, Prof. Endang L Achadi, masalah kerdil dan pemakanan mempengaruhi tahap kesihatan serta kecerdasan pada setiap peringkat.

Katanya, ia bermula daripada bayi yang berada dalam kandungan, semasa dilahirkan, kanak-kanak, remaja, belia dan wanita hamil.

“Ia memberi kesan terhadap perkembangan otak dan fizikal, malah terdedah kepada risiko penyakit.

“Apabila meningkat dewasa, kanak-kanak tersebut akan berdepan masalah obesiti sehingga terdedah kepada pelbagai penyakit termasuklah kencing manis, darah tinggi dan daya tahan badan yang rendah,” katanya.

Jelasnya, masalah tersebut turut dilihat menjejaskan ekonomi, meningkatkan jumlah kemiskinan dan menurunkan daya saing dalam kalangan masyarakat.

Menurut Endang, masalah kekerdilan tidak boleh diubati, namun ia mampu dicegah menerusi kaedah lain seperti mengambil makanan tertentu untuk 1,000 hari pertama selepas dilahirkan yang akan menyumbang kepada penurunan 30 peratus.

Pengambilan makanan sihat pula mengurangkan 70 peratus risiko berdepan masalah tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Nila Moeloek berkata, dana desa diperlukan untuk tujuan menangani masalah tersebut ekoran kira-kira 1,000 desa yang berada di Indonesia mempunyai anak yang mengalami pembesaran terbantut.

“Isu ini perlu campur tangan daripada dana desa sementara di pihak kami pula, kami akan membimbing wanita hamil selain memberikan makanan sihat kepada mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, masalah tersebut perlu ditangani secara bersama melibatkan semua kementerian kerana ia bukan hanya merugikan negara, malah mempengaruhi tahap kecerdasan dan perkembangan kanak-kanak.

Nila berkata, cara pengasuhan kanak-kanak juga mempengaruhi masalah kerdil dalam kalangan penduduk selain meminta Kementerian Hal Ehwal Agama memainkan peranannya mendidik masyarakat.

“Perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak banyak berlaku di kawasan kampung dan akhirnya menyebabkan anak dilahirkan dengan berat badan rendah,” katanya.

Ketua Pengarah Pembangunan dan Pemberdayaan Masyarakat Desa, Kementerian Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi, Taufik Madjid berkata, sejak dahulu lagi dana desa sudah digunakan untuk tujuan berkenaan, namun pada tahun ini ia lebih bersepadu.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu dana desa digunakan untuk pembangunan infrastruktur seperti pondok bersalin desa dan kemudahan air bersih.

Potensi

Bagaimanapun, dana desa boleh digunakan merangkumi pemberian makanan sihat, rawatan kesihatan ibu hamil dan menyusu, keperluan perubatan, pendidikan ke arah gaya hidup sihat dan bersih serta ambulans desa.

“Kami berharap masyarakat desa dapat memastikan agar dana desa digunakan untuk tujuan tersebut selain ketua dan pemerintah daerah perlu bersama-sama dalam mencegah masalah berkenaan,” ujar Taufik.

Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi, Eko Putro Sandjojo turut menyatakan masalah tersebut perlu ditangani secara bersepadu dalam memanfaatkan dana desa.

Katanya, Indonesia mempunyai potensi untuk menjadi sebuah negara maju, namun salah satu halangan bagi merealisasikannya adalah tahap pendidikan dan kualiti sumber manusia.

Menerusi kerjasama secara bersepadu, pihaknya menyasarkan penurunan jumlah individu kerdil di negara itu di bawah 10 peratus berbanding 37.2 peratus ketika ini.