Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Mohd. Rusdi Abdullah, daripada purata 800 kes kecederaan yang berkait dengan aktiviti sukan yang dirawatnya di hospital itu setiap tahun, hanya 10 peratus melibatkan atlet profesional manakala selebihnya penggemar sukan hujung minggu atau yang kurang bersedia untuk aktiviti lasak.

“Saya mengendalikan kira-kira 800 kes setahun dengan purata kira-kira 30 peratus daripada pesakit itu memerlukan pembedahan, manakala selebihnya memerlukan rawatan konservatif (bukan pembedahan) seperti fisioterapi, suntikan, sokongan dan pengambilan ubat.

“Biasanya kami akan cuba kaedah bukan pembedahan terlebih dulu, tetapi jika tiada tanda pemulihan maka kami akan memilih pembedahan bergantung kepada tahap parah dan faktor lain.

“Selalunya, penggemar sukan hujung minggu tidak melatih badan mereka untuk aktiviti sukan lasak. Jadi, otot mereka tidak mantap, tidak ada aktiviti memanaskan badan atau regangan yang sesuai, peralatan sukan tidak mencukupi atau tidak betul, serta tidak memakai kasut yang sesuai,” katanya ketika ditemui di SJMC, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Mohd. Rusdi menegaskan bahawa regangan, pemanasan dan penyejukan badan adalah sama pentingnya dengan melakukan aktiviti untuk mencegah kecederaan.

“Kita hendaklah memastikan otot bersedia sepenuhnya sebelum melakukan sebarang pergerakan pantas dan melibatkan banyak tekanan. Jika tidak, gerakan secara tiba-tiba dan pantas melibatkan badan dan anggota badan yang lain boleh menyebabkan kecederaan pada tisu atau otot.

Selain bersiap sedia, pemanasan badan juga membantu mengoptimumkan fungsi jantung dan peredaran darah, meningkatkan fungsi paru-paru untuk pengoksigenan mencukupi untuk tisu, mengawal selia hormon, keseimbangan, fleksibiliti sendi dan kesediaan mental,” tambah Mohd. Rusdi.

Selepas melakukan aktiviti fizikal, penyejukan badan adalah penting untuk merehatkan otot dan memulihkan fungsi kardio-pernafasan bagi mengembalikan fungsi badan kepada keadaan asalnya. Ia juga boleh mengurangkan risiko kesakitan otot selepas bersenam.

Kecederaan sendi lutut

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang Arthroscopy and Sports Surgery berkata, kecederaan sendi lutut terutama yang melibatkan ligamen krusiat anterior (ACL) dan ligamen kolateral medial (MCL) adalah kecederaan sukan yang paling biasa berlaku di Malaysia.

Kecederaan sukan lain yang melibatkan sendi bahu, belakang, siku, pinggul serta ligamen pergelangan kaki (koyakan kecil atau keseluruhan) pula menyebabkan ketidakstabilan dalam pergerakan dan kesakitan kronik.

“Terdapat lebih daripada tujuh ligamen penting pada lutut. Sendi lutut adalah bahagian yang sering mendapat kecederaan bagi kebanyakan sukan termasuk sukan berasaskan pergerakan tangan seperti bola keranjang dan bola baling,” jelasnya.

“Sebagai contoh, kecederaan yang melibatkan ACL berlaku apabila bahagian tubuh atau anggota badan lain terseliuh teruk akibat serangan berbahaya, hilang keseimbangan, pelanggaran kepala atau tindakan berpusing secara mengejut. ACL bertindak sebagai penstabil untuk sendi lutut dan membantu menentang mana-mana sendi daripada tekanan dan dislokasi,” katanya.

Beliau menjelaskan, pemain bola sepak dan futsal menghadapi risiko kecederaan lutut, terutamanya ACL dan meniscus. Ini sering berlaku kerana permukaan gelanggang futsal yang antilicin tetapi kaki tetap berpijak di permukaan gelanggang manakala pada waktu sama badan membuat pusingan mengejut atau jatuh ke lantai.

Langkah pencegahan kecederaan adalah sangat penting untuk membolehkan atlet terus mengambil bahagian dalam sukan serta permainan. Mereka dinasihatkan supaya mempunyai pengetahuan saintifik tentang cara untuk memberi respons pada kecederaan, rakan sepasukan atau lawan.

“Mereka sepatutnya tahu cara menangani kecederaan seperti kaki patah, contoh meletakkan ais, pembalut dan splin; dan memberi bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari). Rawatan kecemasan awal amat penting untuk menyelamatkan nyawa atau mencegah keadaan yang lebih teruk ketika berlaku kecederaan atau kecemasan, terutamanya yang melibatkan jantung, pernafasan atau otak,” katanya.

Tambahnya, adalah penting bagi atlet untuk mempunyai pengetahuan sains dan nutrisi makanan, memahami fungsi tubuh sendiri, penggunaan peralatan dalam latihan dan persaingan, memilih kasut bersesuaian agar dapat mencegah kecederaan selain mengamalkan disiplin yang baik.

Menyentuh soal cabaran dalam merawat kecederaan sukan di negara ini, beliau berkata, meskipun Malaysia salah sebuah negara terbaik di Asia untuk perubatan dan pembedahan sukan, kepercayaan terhadap rawatan alternatif seperti ubat tradisional dan bomoh masih wujud, yang mungkin secara negatif mempengaruhi hasil rawatan.– Bernama