Bertemakan Hidup Sihat, Hidup Gembira, larian itu diadakan bersempena ulang tahun ke-25 syarikat tersebut.

Ketua Penagrah Urusan CARiNG Pharmacy, Chong Yeow Siang berkata, ia merupakan acara larian pertama yang dianjurkan oleh sebuah syarikat farmasi.

“Pada acara ini, kami menjayakan kata-kata untuk hidup sihat dalam bentuk tindakan. Seramai 3,000 peserta dijangka menyertai acara larian itu,” katanya pada majlis pelancaran #KamiCaring di pusat 
beli-belah IOI City Putrajaya baru-baru ini.

#KamiCaring Run 2019 merangkumi kategori 5 kilometer (km) Fun Run dan 12km Competitive Run. Bagi kategori 5km Fun Run, ia terbuka untuk peserta berusia 13 tahun ke atas dan kanak-kanak berumur antara tiga hingga 12 tahun.

Untuk kategori 12km Competitive Run pula, ia terbuka untuk peserta 15 tahun ke atas. Peserta bawah 18 tahun harus mendapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu.

Kehidupan sihat

Mengulas lanjut, Yeow Siang memberitahu, pihaknya percaya setiap orang harus memulakan langkah ke arah kehidupan yang sihat tanpa mengira batasan umur atau bentuk fizikal tubuh.

“Gaya hidup yang sihat memainkan peranan penting dalam mengurangkan masalah kesihatan pada masa hadapan.

“Acara ini juga menjadi peluang untuk orang ramai meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Setiap peserta akan mendapat baju T larian, pingat penamat dan beg cenderahati. Pendaftaran akan ditutup pada 9 Oktober nanti.

Bagi kedua-dua kategori 12km Terbuka Lelaki/Veteran dan 12km Terbuka/Veteran, hadiah pertama berupa wang tunai berjumlah RM600 berserta piala akan diberikan kepada para pemenang.

Pemenang tempat kedua pula akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM400 berserta piala, manakala tempat ketiga pula bakal menerima wang tunai RM200 berserta piala.

Hadiah sagu hati berupa baucar tunai bernilai RM100 berserta piala akan diberikan kepada pemenang tempat keempat hingga ke-10.

Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian di laman khusus http://bit.ly/KamiCaringRun2019.