Sebagai rakyat Malaysia, semangat patriotisme perlu ditonjolkan sebagai menghargai kemakmuran negara selepas mencapai kemerdekaan 61 tahun lalu.

Malaysia baru menyambut Hari Kebangsaan ke-61 pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Justeru, mengambil inspirasi daripada dua hari bersejarah negara tersebut, Nippon Paint menganjurkan bengkel Bengkel Sayangi Malaysiaku Create-It-Yourself (CIY) sebagai tanda cinta negara kita dan mempamerkan semangat patriotik.

Bengkel yang diadakan di Shah Alam, Selangor dan dikendalikan oleh pereka dalaman, Ben Firdaus Azraai itu memberi pendedahan kepada peserta untuk menghasilkan rekaan kreatif bertemakan Sayangi Malaysiaku pada barangan perhiasan seperti pinggan kayu.

Ben Firdaus memberitahu, idea dekorasi CIY menggunakan cat boleh digunakan pada medium diperbuat daripada kayu atau logam dan tidak sekadar terhad diaplikasikan pada dinding rumah semata-mata.

“Ia boleh mengubah sesuatu peralatan yang tampak kosong atau mungkin membosankan kepada sesuatu yang menarik mengikut daya kreativiti seseorang,” ujarnya pada Bengkel Sayangi Malaysiaku di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Teknik mengecat

Cat Nippon Paint Hydro Finish yang digunakan sesuai untuk permukaan kayu dan logam dan merupakan salah satu daripada rangkaian cat Nippon Paint Mesra Kanak-Kanak.

Ia bersifat antibakteria, boleh dicuci dan rintangan kulat sekali gus mesra kanak-kanak.

Teknik mengecat boleh dibahagikan kepada dua langkah mudah melibatkan sapuan cat dan stencil.

Peringkat pertama memerlukan peserta menampal pita pelekat washi (washi tape) untuk membentuk corak yang diingini pada permukaan barangan yang ingin dicat.

Penggunaan washi tape lebih berkesan kerana cat tidak akan menggelupas semasa pita pelekat ditanggalkan.

Kemudian, Primer Hidro perlu disapu pada permukaan peralatan bagi memastikan cat tahan lama, kemas dan tidak reput.

Setelah itu, proses mengecat lapisan pertama boleh dilakukan. Proses itu dilakukan beberapa kali sehingga keseluruhan ruang yang diwarnakan rata, kemas dan memuaskan hati.

Oleh kerana perhiasan yang dihasilkan bagi menyerlahkan semangat patriotik, maka warna cat yang digunakan untuk mengecat pinggan kayu tersebut terdiri daripada warna bendera Malaysia iaitu merah, putih, biru dan kuning.

Setelah cat kering dan pita pelekat ditanggalkan, teknik kedua yang digunakan ialah stensil iaitu menggunakan templat untuk menghasilkan sesuatu corak.

Untuk ini teknik ini, peserta diberikan templat berbentuk bunga raya dan corak pada pinggan kayu dihasilkan dengan menekap cat menggunakan span.

Kedua-dua teknik mengecat ini juga sesuai untuk diaplikasikan pada permukaan peralatan kayu atau logam lain.