Tiap kali menonton di kaca televisyen atau membeli mainan animasi yang digemari, anak kelahiran Gombak, Selangor itu akan mencapai sebatang pensel dan melukisnya di sehelai kertas putih watak yang diminatinya.

Biarpun lukisannya tidak secantik seperti di dalam kaca televisyen, namun Mohd. Fathy tidak pernah jemu untuk melukis sehinggakan mendapat pujian daripada ibu bapa serta guru-gurunya.

“Saya minat melukis sejak kecil lagi. Di sekolah memang setiap kali ada pertandingan, saya pasti masuk.

“Lukisan saya sering dipuji oleh guru dan mendapat tempat pertama atau kedua setiap pertandingan,” katanya ketika ditemui di Pameran Lukisan Mampu Milik, Angkatan Pelukis SeMalaysia baru-baru ini.

Menurut Mohd. Fathy, pada tahun 2016, dia mula melukis lukisan bermotif haiwan dan alam semula jadi.

“Pada masa itu, saya mula mengunjungi pameran-pameran dan galeri seni yang diadakan sekitar Kuala Lumpur.

“Sejak itu, timbul minat untuk menghasilkan sebuah lukisan tetapi tetap menerapkan elemen animasi itu,” ujar graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Mohd. Fathy berkata, lukisan pertama yang dihasilkan adalah bermotifkan haiwan iaitu burung.

Tambah pemegang Sarjana Muda Animasi dan Grafik, UiTM itu, dia meminati burung kerana haiwan tersebut dekat dengan manusia dan mempunyai pelbagai spesies.

“Sebab saya memilih burung ialah ia antara haiwan yang mempunyai sejarah dan sudah wujud sejak zaman dahulu lagi.

Burung pupus

“Setiap lukisan saya mesti ada burung tidak kira jenis apa tetapi kebanyakan adalah burung yang sudah pupus atau terancam,” ujar anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.

Katanya, daripada lukisan, dia berharap dapat menyampaikan mesej kepada orang yang melihatnya agar mencintai haiwan.

Hampir tiga tahun menceburi seni lukisan, Mohd. Fathy mempunyai hampir 20 koleksi lukisan yang sudah siap dan akan dipamerkan.

Dalam pada itu, Fathy memberitahu, dalam bidang lukisan, dia hanya berguru di media sosial seperti YouTube dan sumber-sumber bacaan di internet.

“Saya tidak berguru atau menghadiri mana-mana kelas seni. Semuanya belajar sendiri dengan bakat melukis animasi saya sebelum ini.

“Idola saya dalam bidang lukisan ialah Amron Omar dan berharap akan menjadi pelukis yang hebat suatu hari nanti,” tuturnya.