Dihuni masyarakat yang majoritinya penganut beragama Kristian, Buria sering mendapat jolokan dan terkenal sebagai negeri di atas awan kerana lokasinya yang terletak di ketinggian 18 kilometer (km) dari aras laut.

Bahkan, Buria dikatakan lebih tinggi daripada gumpalan awan yang menyelubungi beberapa gunung berkenaan.

Penduduk asal Buria yang dikenali sebagai Leo berkata, dahulunya masyarakat negeri Buria menetap di Taniwel.

“Orang-orang lama dahulunya tinggal di Taniwel tetapi disebabkan tanah yang didiami mereka kepunyaan orang lain, maka penduduk berpindah ke sini (Buria),” katanya.

Menurutnya, usaha untuk membuka negeri tersebut bukan satu perkara yang mudah dan memakan masa selama bertahun-tahun.

Katanya, penduduk harus memikul pasir, batu, simen, batu, kayu dan pelbagai bahan-bahan binaan lain dari Taniwel yang mempunyai jarak kira-kira 17km dari Buria.

Sungai menjadi laluan utama bagi melancarkan proses perjalanan dan perpindahan tersebut.

Airnya yang tidak pernah kering sekalipun musim kemarau melanda diberi nama Sungai Sapalewa, tercatat sebagai salah satu sejarah dan budaya ‘Tiga Batang Air’ di Kabupaten Seram.

Buria yang keluasannya 97,359 ekar (39,399 hektar) didiami 341 keluarga dengan jumlah populasi seramai 1,618 orang.

Menurut seorang lagi penduduk, Wilhelmus atau lebih dikenali sebagai bapak Emus berkata, bercucuk tanam merupakan aktiviti masyarakat dan dijadikan sebagai punca pendapatan utama.

Katanya, tidak hairanlah di kiri dan kanan jalan dari Taniwel menuju ke Buria dipenuhi dengan tanaman seperti pokok buah kelapa, kenari, salak, pisang, limau serta durian.

“Durian merupakan salah satu komoditi berpotensi di Buria. Pada musim durian, buah tersebut akan diambil oleh petani iaitu penduduk desa itu sendiri untuk dijual di pasar-pasar.

“Durian yang dijual di Ambon dan kota-kota lain juga banyak dari sini.

“Selain buah-buahan, Buria juga menjana ekonomi dengan menghasilkan rempah ratus iaitu cengkih serta buah pala,” ujarnya.

Adat

Dalam pada itu, seorang anak muda yang dikenali sebagai Sandy Batlayeri dari Maluku, Tenggara Barat bernikah dengan anak Leo, Jelika.

Pernikahan tersebut berlangsung dalam suasana penuh adat istiadat di rumah Leo pada 18 Mac lalu.

Menurut Sandy, proses pertama pernikahan adalah keluarganya perlu datang ke rumah bakal pengantin perempuan yang dihajati untuk dipinang sebagai isteri.

“Setiba di sana, seorang wakil dalam kalangan orang paling tua akan mengetuk pintu rumah pengantin perempuan dengan mengucapkan kata-kata aluan dalam bahasa Buria dan seterusnya disambut tuan rumah yang membuka pintu menggunakan bahasa sama.

“Setelah itu, acara dilanjutkan dengan perbincangan oleh kedua-dua wakil pendukung adat yang mewakili keluarga masing-masing sejurus sumpah adat yang diketuai bapak Ot selaku penyuluh adat negeri Buria dilakukan,” katanya.

Sandy memberitahu, sebelum kedua-dua calon mempelai dinikahkan secara adat, tetamu dan tuan rumah diwajibkan mengunyah sirih dan pinang kendati yang perlu digigit sedikit sebelum dibuang.

Dalam sambutannya, Raja Buria Gerets Latue yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan Leo menyatakan bahawa, upacara adat tersebut dilakukan agar kedua-dua mempelai terikat satu sama lain sebagai pasangan suami isteri dan tidak dapat dipisahkan kecuali ajal maut.

Setelah sumpah adat selesai, acara dilanjutkan dengan menikmati jamuan makan tengah hari bersama tetamu dan kedua-dua keluarga mempelai dengan menghidangkan makanan tempatan Buria.

Kemudahan

Sama seperti desa-desa atau perkampungan yang berada di pergunungan, Buria yang terletak 65km dari Piru, ibu kota Kabupaten Seram Bahagian Barat turut tidak terlepas daripada masalah infrastruktur seperti kemudahan bekalan elektrik dan lampu jalan.

Dua masalah itu cukup serius bagi masyarakat desa tersebut terutamanya mereka yang bekerja di sektor pendidikan dan ekonomi.

“Bagaimana kanak-kanak di sini mahu belajar dengan baik jika terpaksa menggunakan pelita pada malam hari?.

“Masalah bekalan elektrik dan lampu jalan amat serius. Setiap hari, bekalan elektrik hanya akan diberikan dan berfungsi kira-kira dua jam sebelum terputus,” ujarnya.

Pada sebelah malam pula, penduduk dan isi keluarga terpaksa menggunakan bantuan mesin generator minyak tanah.

Selain masalah bekalan elektrik, warga Buria juga berharap pemerintah daerah akan membaiki dan menaik taraf kemudahan infrastruktur yang rosak teruk di negeri itu.

“Kebiasaannya, pada waktu musim buah terutamanya durian, ramai pedagang akan membeli hasil kebun dan hutan Buria.

“Namun sejak kebelakangan ini, jarang sekali mereka datang disebabkan keadaan jalan raya yang amat teruk sepanjang 6km,” ujarnya.

Dalam aspek pengangkutan awam pula, tidak ada lagi yang terus sampai ke Buria melainkan penduduk setempat menggunakan motosikal sendiri.