Pengarahnya, Justine Leong berkata, Burgerlari yang baru beroperasi Februari lalu mempunyai enam menu iaitu burger hainan chicken chop, burger nasi ayam, burger sate ayam, burger rendang ayam, burger ayam mentega dan burger nasi lemak.

Mengakui burger merupakan juadah kegemaran dan keluarganya, dia cuba mengekalkan penggunaan bahan asli mengikut resipi asal misalnya penggunaan kerisik serta santan untuk burger rendang bagi menghasilkan rasa hidangan yang autentik.

“Ayam yang digunakan adalah bahagian paha dan ia tidak dicincang atau ditambah tepung.

“Bagi tiga menu seperti burger rendang, burger nasi ayam dan burger sate, ayam yang digunakan pula dipanggang,” ujarnya kepada K2 ketika ditemui di restoran tersebut sempena sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Burgerlari baru-baru ini.

Turut hadir menyerahkan sijil halal tersebut ialah Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Berkhasiat

Ibu kepada lima cahaya mata berusia 14 hingga 24 tahun itu bercerita, dia sendiri sangat teliti dengan makanan yang dihidangkan kepada keluarga dan berhasrat mengetengahkan hidangan berkhasiat serta mengenyangkan di Burgerlari.

Jelasnya, nama Burgerlari diilhamkan daripada kepantasan juadah itu disediakan yang mengambil masa sekitar tiga hingga empat minit sekali gus memudahkan pelanggan supaya tidak perlu menunggu lama.

“Saya sendiri akan memasak untuk anak-anak di rumah biarpun mempunyai pembantu dan sangat prihatin dengan bahan-bahan yang digunakan.

“Perkara ini juga saya terapkan di restoran Burgerlari dalam memilih resipi dan bahan terbaik misalnya sayur-sayuran segar untuk disajikan kepada pelanggan kami,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Burgerlari dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan dijual pada harga antara RM12.50 hingga RM12.90 untuk setiap burger yang dibeli secara ala carte.