Selain itu, tanggapan dan maklumat yang salah mengenai MBC juga masih berleluasa.

MBC adalah kanser payudara tahap empat dengan anggaran jangka hayat antara dua hingga empat tahun.

Pada peringkat metastatik, kanser akan merebak ke bahagian badan lain seperti tulang, paru-paru, hati dan otak.

Berdasarkan tinjauan secara online yang dijalankan oleh Pfizer di Asia Pasifik dan di negara ini tahun lalu, masyarakat masih kurang kesedaran termasuk kefahaman mengenai kanser payudara metastatik.

Tinjauan itu juga mendedahkan, 35 peratus rakyat Malaysia tidak pernah mendengar mengenai kanser payudara metastatik.

Ia juga dikenali sebagai kanser payudara peringkat serius, manakala tujuh daripada 10 mempunyai kepercayaan yang tidak tepat bahawa kanser jenis itu boleh diubati.

Rujukan

Pfizer Malaysia telah melancarkan buku panduan pesakit untuk penghidap MBC, Your Journey Starts Here : Living with Metastatic Breast Cancer sebagai inisiatif syarikat itu menyokong kempen kesedaran kanser payudara.

Naskhah setebal 75 muka surat itu adalah buku panduan pertama seumpamanya yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pesakit dan ahli keluarga.

Buku itu diterbitkan dalam format ringkas dan dilengkapi dengan ilustrasi grafik bagi membolehkan pesakit memahami fakta-fakta serta maklumat perubatan mengenai MBC.

Pakar Perunding Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Ho Gwo Fuang berkata, walaupun pesakit MBC mungkin tidak dapat disembuhkan, ia boleh dirawat bagi membolehkan pesakit meneruskan kehidupan lebih selesa.

“Antara rawatan yang ada adalah mengecilkan tumor bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit. Ia termasuklah terapi hormon, kemoterapi, terapi sasaran atau gabungan terapi-terapi berkenaan.

“Adalah penting bagi pesakit untuk mendapat akses maklumat yang tepat bagi mengelakkan mereka daripada menghentikan rawatan akibat maklumat yang salah mengenai MBC,” katanya pada majlis pelancaran buku panduan itu di The Forum, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buku itu turut disemak serta disunting oleh Prof. Madya Dr. Ho Gwo Fuang dan Perunding Onkologi Institut Kanser Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Mastura Md. Yusof bagi membantu pesakit membuat keputusan yang sewajarnya berhubung pelbagai kaedah rawatan yang berbeza.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan dan Nilai Pfizer Malaysia, Noor Yang Azwar Kamarudin berkata, pihaknya ingin memperbaiki jurang maklumat antara penyakit pada peringkat awal serta metastatik.

“Pesakit yang menghidap MBC tidak mempunyai panduan yang mencukupi. Dengan adanya buku panduan penghidap MBC, ia sekurang-kurangnya dapat meningkatkan kualiti hidup mereka,” ujarnya.

Buku itu diedarkan secara percuma di pusat-pusat perubatan dan kumpulan sokongan pesakit kanser di seluruh negara. Pesakit juga boleh mendapatkan salinan buku itu di klinik onkologi mereka.