KHAIRIL ISMAHAFIZ
KHAIRIL ISMAHAFIZ

MyHA 2018 yang merupakan kesinambungan Konvensyen Badan-Badan Pensijilan Halal (HCBC) edisi kesembilan akan berlangsung dari 26 Mac hingga 3 April ini di Hotel Le Meridien Putrajaya. Persidangan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama rakan strategiknya, DagangHalal Sdn. Bhd. (DH) ini akan disertai oleh pemain-pemain industri halal dari dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan DH, Dr. Khairil Ismahafiz Muhadzir berkata, persidangan itu menunjukkan Malaysia sentiasa ke hadapan dalam menjadi negara rujukan berhubung industri halal di peringkat antarabangsa.

“Ketika pasaran dunia masih banyak menumpukan soal piawaian halal, pihak Jakim mahu mengorak selangkah ke depan berbanding negara-negara luar dengan menyentuh pelbagai aspek dalam industri halal.

“ MyHA 2018 juga akan membincangkan mengenai teknologi dalam industri halal, pelancongan Muslim, perbankan Islam dan kemudahan-kemudahan dalam industri halal. Tidak hanya mengenai pensijilan halal. Boleh dikatakan, perbincangan meliputi segala aspek dalam lingkungan industri halal,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menghuraikan mengenai MyHA 2018 yang melibatkan empat program dalam satu, beliau berkata, ia menawarkan pelbagai pilihan kepada para peserta sama ada untuk menimba ilmu, mengasah kemahiran atau menghadiri konvensyen.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, penganjuran kali ini istimewa kerana melibatkan empat program iaitu program kursus-kursus yang diiktiraf Majlis Halal Profesional (HPB), program Pembangunan Kapasiti Teknikal Halal Antarabangsa (IHTCDP), Multaqa Badan Autoriti Halal Antarabangsa (IHAB) selain HCBC.

Khairil Ismahafiz berkata, program kursus HPB itu menawarkan dua jenis latihan iaitu latihan amalan audit dalaman halal dan latihan kemahiran kepada para eksekutif dalam industri halal.

IHTCDP pula menyediakan latihan, informasi terkini dan perkongsian pengalaman daripada pakar kepada para pemain industri halal yang dibahagikan kepada tiga bidang iaitu pengeluaran produk atau perkhidmatan makanan, kosmetik dan farmaseutikal serta logistik.

Jelasnya, kelainan yang ditampilkan itu sesuai dengan agenda transformasi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan matlamat Jakim sempena sambutan 25 tahun badan pensijilan halalnya pada tahun depan.

“Pada tahun 2019, sambutan ke-25 tahun badan pensijilan halal Jakim bakal diraikan bertemakan Transformasi Ke Arah Era Digital Islam. Kita sudah menuju ke arah sambutan itu dari sekarang,” katanya.