Namun, beberapa kekangan seperti keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan iklim selain kos yang tinggi antara penyebab yang menghalang mereka untuk menyertainya.

Menyedari hakikat bahawa Malaysia mempunyai ramai pelari yang berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa, syarikat pembekal peralatan dan kelengkapan aktiviti lasak, ExpedPRO Sdn. Bhd., menganjurkan acara Larian Denai Buff di Sungai Buloh, Selangor pada 1 Julai lalu.

Ia bagi mengenal pasti individu yang berbakat dalam kegiatan lasak tersebut.

Pengarah Urusannya, Leong Dee Lu berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab membawa masuk pakaian aktiviti lasak jenama Buff ke negara ini sejak 10 tahun lalu, mereka bekerjasama dengan sebuah lagi syarikat pemasaran kelengkapan aktiviti lasak, Climbing & Outdoor Recreational Equipment Sdn. Bhd., (Corezone) bagi menganjurkan acara tersebut.

Katanya, walaupun acara larian itu baru pertama kali diadakan di negara ini, ia telah mendapat penyertaan daripada hampir 1,000 peserta.

“Larian Denai Buff ini diadakan sebagai sokongan kepada Perlumbaan Larian Denai [email protected] yang disenaraikan sebagai acara Siri Perlumbaan Dunia Skyrunner yang diadakan di Sepanyol pada setiap tahun.

“Perlumbaan [email protected] adalah antara acara berprestij di peringkat antarabangsa yang ditunggu-tunggu oleh penggemar larian denai di seluruh dunia.

“Ini kerana ia berlangsung di kawasan beraltitud tinggi sehingga melebihi 6,000 meter dari paras laut. Hanya peserta yang mempunyai daya tahan yang tinggi mampu melakukannya.

“Oleh itu, saya sangat teruja untuk mencari peserta yang dapat membawa nama Malaysia ke perlumbaan tersebut pada tahun depan,” katanya.

Perlumbaan Larian Denai [email protected] adalah acara tahunan yang diadakan di kawasan Taman Negara Aiguestortes dan Tasik Maurici di Barruera, Sepanyol sejak tahun 2016 .

Kenal pasti

Terdapat empat kategori dipertandingkan pada perlumbaan tersebut iaitu Ultra SkyMarathon melibatkan jarak larian sejauh 65 kilometer (km) dengan laluan mencecah ketinggian 5,600 meter (m) selain SkyMarathon (42km/ketinggian 3,200m), Separuh SkyMarathon (21km/ketinggian 1,879m) dan Vertical (10km/ketinggian 800m).

Sambil merahsiakan jumlah peserta yang terpilih untuk diterbangkan ke Sepanyol bagi menyertai perlumbaan itu, Dee Lu berkata, berdasarkan pencapaian peserta pada Larian Denai Buff tersebut, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang mempunyai kebolehan untuk menggalas cabaran berkenaan.

“Kami telah melihat pencapaian mereka pada perlumbaan ini dan satu sesi pemilihan akhir akan diadakan sebelum menentukan siapa yang layak dihantar untuk menyertai perlumbaan berprestij itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Corezone, Sharon Tan pula memberitahu, pihaknya memilih persekitaran Bukit Lagong di Selayang, Selangor sebagai lokasi perlumbaan bagi membolehkan peserta menikmati keindahan persekitaran Sungai Buloh pada sudut pandang yang berbeza.

Katanya, selain melalui kawasan hijau, peserta juga menempuh beberapa mercu tanda terkenal di sekitar Sungai Buloh seperti kawasan perniagaan pokok hiasan dan landskap, Pusat Kawalan Kusta Negara serta Penjara Sungai Buloh.

“Kami juga ingin menjadikan Sungai Buloh sebagai salah satu lokasi penganjuran aktiviti luar di Lembah Klang kerana kawasan itu turut menjadi lokasi pilihan bagi penggemar aktiviti basikal lasak pada hujung minggu,” katanya.

Bagi ketua Pasukan Buff Malaysia, Sharul Ambri Mohd. Noor, acara larian itu memberi peluang kepada ramai pelari denai di negara ini untuk menunjukkan bakat mereka.

“Saya harap akan ada antara rakyat negara ini yang terpilih untuk menyertai Perlumbaan [email protected] di Sepanyol tahun depan.

“Saya sendiri turut mengimpikan untuk menyertai acara itu sejak mula aktif dalam larian denai lebih 10 tahun lalu,” katanya yang memperoleh tempat kedua bagi kategori lelaki 10km dalam acara tersebut.