Justeru, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menawarkan lebih 300 juadah termasuk 24 gerai berkonsepkan pasar malam sempena bufet Selera Ramadan di Restoran Riverside, PWTC bermula 17 Mei hingga 13 Jun ini.

Antara menu signatur pasar malam yang disediakan ialah apam balik, char kuetiau, putu piring, nasi kerabu, nasi dagang, burger, roti John, martabak, roti canai, cempedak goreng, sate, cakoi, tauhu bakar dan aneka jenis kuih Melayu.

Bezanya, para tetamu tidak perlu berpanas atau bersesak-sesak dan boleh menikmati makanan kegemaran mereka di dalam ruang berhawa dingin dengan selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Putra, Datuk Shamsul Kamar Ahmad berkata, aneka hidangan istimewa ala masakan kampung yang disediakan akan bertukar setiap hari.

“Antara menu yang disediakan ialah daging gulai kawah, ikan patin masak tempoyak, daging rendang tok, kambing goreng berempah, siput sedut masak lemak cili padi, sotong masak kari nanas, udang sambal petai dan sayur pucuk paku goreng belacan.

“Selain itu, 10 jenis kerabu turut menanti pengunjung antaranya kerabu sotong, mangga, betik muda, daging, ayam, jantung pisang, paru, nanas, hati, kacang botol dan perut,” tuturnya kepada pemberita pada sesi ulasan makanan di restoran tersebut baru-baru ini.

Harga bufet Ramadan tersebut ialah RM88 bagi dewasa, warga emas berusia 60 tahun ke atas (RM75), kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun (RM45).

PWTC turut menawarkan pembelian baucar pada harga istimewa iaitu RM75 kepada pelanggan yang membuat pembelian sebelum 16 Mei 2018.

Orang ramai akan dihiburkan dengan alunan muzik dan lagu oleh kumpulan Picha-Picha yang menampilkan Linda Eva selaku penyanyi utama.