Tangan manusia selalunya menyebarkan 80 peratus daripada penyakit berjangkit umum dan penjagaan kebersihan tangan secara berkesan adalah satu langkah yang dapat mengawal jangkitan.

Antara penyakit yang paling mudah dijangkiti disebabkan sebaran menerusi sentuhan ialah penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD).

Apabila seseorang yang dijangkiti bersin atau batuk pada tangan, kuman mudah disebarkan kepada orang lain apabila bersentuhan.

Justeru, amalan mencuci tangan amat penting dan bagi mendidik masyarakat, syarikat sabun mandian cecair Lifebuoy telah melaksanakan program mencuci tangan School of 5.

Lifebuoy telah melabur lebih RM1 juta untuk menggalakkan amalan menjaga kebersihan tangan dengan betul di sekolah rendah dan tadika melalui perlaksanaan program tersebut.

Mula dilaksanakan sejak tahun 2015, program tersebut telah melibatkan penyertaan seramai 223,258 kanak-kanak di Malaysia.

Pengarah Penjagaan Kecantikan, Peribadi dan Penjagaan Rumah Unilever Malaysia, Vincent Chong berkata, pihaknya percaya bahawa usaha membentuk tabiat anak-anak hendaklah dimulakan sejak kecil lagi.

“Itulah sebab kami memberi tumpuan kepada pendidikan kanak-kanak pada peringkat prasekolah dan sekolah rendah.

“Lifebuoy komited untuk membantu menjadikan Malaysia lebih sihat menerusi amalan mencuci tangan dengan sabun secara mudah tetapi berkesan,” katanya sempena Hari Cuci Tangan Global di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir dalam program tersebut Pengarah Urusan Unilever, Annemarieke de Haan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Chong Chee Kheong.

Dalam pada itu, Chee Kheong berkata, hakikatnya amalan mencuci tangan dengan sabun ialah cara yang berkesan untuk menyelamatkan nyawa dan mencegah penyakit.

Jelasnya, penyakit yang berjangkit menerusi sentuhan pada asasnya boleh dicegah dan jika tidak dibasmi ia boleh menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat Malaysia.

“Berjuta kanak-kanak di dunia ini mati akibat penyakit cirit-birit dan pneumonia.

“Amalan mencuci tangan dapat mencegah kanak-kanak daripada mendapat penyakit itu,” katanya.