Bagi anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, ia umpama orang mengantuk disorongkan bantal.

Minatnya terhadap dunia seni lukis sejak kecil mendapat perhatian Vans.

“Saya membesar dalam keluarga yang kreatif. Kedua-dua ibu bapa saya adalah pencinta seni. Ibu bapa saya sedar yang saya juga mempunyai minat yang sama dan mereka memperkenalkan saya kepada reka bentuk grafik.

“Sejak itu saya giat mengasah bakat. Saya mula melukis sejak kecil lagi, sememangnya dari awal saya sudah meminati seni,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada House of Vans Asia Tour 2018, Kuala Lumpur baru-baru ini.

House of Vans Asia Tour 2018 berlangsung serentak pada 7 September lalu di Kuala Lumpur, Seoul, Singapura, Guangzhou dan beberapa lagi bandar-bandar di Asia.

Kreativiti

Ia bertujuan untuk memperkasakan pengkarya seni agar dapat mengatasi batasan serta kekangan yang membelenggu mereka.

Melalui House of Vans Asia Tour 2018 itu, sesiapa sahaja diberi peluang untuk berkongsi kreativiti mereka sama ada dalam bentuk sukan lasak, seni, muzik atau budaya jalanan.

Bagi negara ini, Kide dipilih bagi menceritakan kisah tentang persepsinya terhadap Asia.

Kide menghasilkan lukisannya berdasarkan budaya Malaysia dengan memaparkan elemen-elemen watak manusia, budaya tempatan, sejarah serta pengangkutan yang digunakan pada tahun 1960-an dan 1970-an.

“Saya mulakan dengan membuat kajian serta lakaran secara rawak, mengambil idea daripada buku, internet dan pengembaraan saya. Konsep kreatif bagi setiap rantau itu sering didorong oleh satu kisah.

“Saya cuba menghasilkan imej yang bersesuaian dengan aktiviti serta emosi sesuatu watak itu.

“Saya turut menambah elemen jenaka yang berkaitan dengan budaya serta warisan tempatan,” ujarnya yang memiliki Diploma Seni Lukis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Vans dan Kide mula berpadu tenaga pada tahun 2017 apabila beliau menyertai pertandingan Vans Asia Custom Culture dan muncul sebagai juara di Malaysia.

Kide merupakan salah seorang finalis pada pertandingan itu. Gayanya yang bersahaja dan berwarna-warni itu kelihatan kaya, ceria, bertenaga serta bersesuaian dengan semangat Vans.

Pegawai Pemasaran Vans Singapura, Elijah Kislevitz berkata, Vans sentiasa berusaha untuk mengangkat dan memperkasakan artis serta pelukis tempatan seperti Kide dengan menyediakan platform ekspresi diri serta peluang mendapat pendedahan di peringkat global.

Pada House of Vans Asia Tour 2018, Kuala Lumpur itu, beberapa aktiviti diadakan seperti bengkel melukis kasut, persembahan gig muzik, bengkel batik dan tayangan wayang tempatan.