Namun, ia kembali popular apabila penyokong bola sepak Jepun mengutip sampah sebaik sahaja pasukan mereka menamatkan perlawanan pada kempen Piala Dunia 2018 di Rusia baru-baru ini.

Perbincangan menjadi semakin panas apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri melakukan perkara yang sama selepas perlawanan bola sepak antara Pahang dan Selangor tempoh hari.

Ramai dalam kalangan masyarakat memuji dan tidak kurang juga yang memperlekehkan tindakan yang dilakukan oleh menteri tersebut.

Persoalannya, mengapa isu kebersihan ini sering menjadi pertikaian dalam kalangan masyarakat di negara kita walaupun dasar Pandang ke Timur sudah lama diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhamad.

Namun, budaya kebersihan yang menjadi amalan masyarakat Jepun masih gagal dilaksanakan oleh masyarakat di negara ini.

Adalah menjadi satu perkara yang sangat ironi apabila masyarakat Islam di negara ini tidak mampu untuk merealisasikan agenda itu walaupun kebersihan dalam agama Islam adalah sebahagian daripada Iman.

Untuk memastikan isu kebersihan ini dapat ditangani dengan baik, tiga inisiatif utama perlu dilaksanakan iaitu pendidikan awal dari rumah, ibu dan bapa sebagai contoh dan kepekaan masyarakat.

Rahsia utama mengapa masyarakat Jepun amat prihatin dan sensitif terhadap isu kebersihan ialah mereka telah dididik sejak kecil lagi mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

Contoh ikutan

Ibu bapa dan ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting untuk membudayakan kebersihan menjadi amalan hidup seharian.

Anak-anak harus diajar dan didedahkan dengan sikap dan tindakan yang wajar dilakukan untuk tujuan menjaga kebersihan seperti membuang sampah di tempat yang telah ditetapkan, mengutip sampah secara sukarela serta melakukan pembersihan berkala.

Perkara yang dinyatakan di atas boleh dilakukan di rumah, bilik tidur ataupun bilik mandi masing-masing.

Ibu bapa boleh melakukan semakan dan tinjauan pada setiap hari untuk memastikan tindakan tersebut dilakukan oleh anak-anak mereka.

Tindakan seperti ini sekiranya dilakukan sejak kanak-kanak lagi, ia akan menjadi budaya dan amalan mereka apabila dewasa kelak seperti mana yang berlaku kepada masyarakat Jepun.

Dalam pada itu, ibu bapa merupakan contoh ikutan yang paling hampir sekali kepada ahli keluarga yang lain.

Oleh yang sedemikian, setiap ibu bapa perlulah mempraktikkan penjagaan kebersihan dengan baik.

Sampah-sampah janganlah dibuang merata-rata tempat kerana perbuatan seumpama ini akan dilihat dan dijadikan ikutan oleh anak-anak apabila mereka dewasa kelak.

Membuang sampah melalui tingkap kereta semasa memandu haruslah dihentikan segera kerana ia bukan sahaja menjadi contoh teladan yang tidak baik tetapi mengundang pelbagai kesusahan kepada pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk memastikan isu kebersihan di negara ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kepekaan masyarakat melapor dan mengambil tindakan kepada mereka yang membuang sampah sesuka hati mampu membantu mengurangkan masalah ini daripada terus berlaku.

Imej negara

Tindakan yang serius daripada pihak bertanggungjawab kepada mereka yang melakukan kesalahan ini turut membantu negara menyelesaikan isu berkaitan dengan kebersihan.

Kebersihan merupakan komponen utama dalam merealisasikan agenda untuk menjadi sebuah negara maju dan membangun.

Isu kebersihan ini jika tidak ditangani dengan baik, ia bukan sahaja menjejaskan imej negara tetapi secara tidak langsung meningkatkan kos negara untuk melaksanakan tugas-tugas pembersihan.

Isu kebersihan berjaya diatasi di negara-negara maju, bukan disebabkan ketegasan pihak kerajaan menghukum mereka yang bersalah membuang sampah merata-rata tetapi kesedaran masyarakat itu sendiri.