Berfikir di luar kotak merujuk kepada kemampuan dan kebolehan seseorang untuk berfikir secara kreatif serta inovatif dalam pelbagai keadaan sama ada bagi tujuan penyelesaian masalah ataupun untuk melaksanakan tugas seharian.

Budaya ini merujuk kepada individu yang masih berpegang kepada kaedah lama dan suka mencuba kaedah baharu.

Bagaimanapun, dalam era globalisasi dan revolusi industri 4.0 (IR4.0) pada hari ini, pendekatan dan budaya yang menggalakkan setiap individu untuk berfikir di luar daripada kebiasaan perlulah digalakkan.

Kebebasan

Justeru, amat bertepatan jika budaya berfikir tanpa kotak diperkenalkan kepada masyarakat pada hari ini.

Budaya berfikir tanpa kotak merujuk kepada kebebasan dan kemampuan seseorang untuk berfikir tanpa had serta tidak menjadikan pelbagai alasan sebagai penghalang untuk mencapai sesuatu perkara.

Berfikir tanpa kotak juga memberi peluang kepada setiap individu untuk memaksimumkan kreativiti dan inovasi seseorang menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian mereka.

Terdapat dua sebab utama mengapa budaya berfikir tanpa kotak wajar menjadi amalan masyarakat di negara ini.

IR4.0 telah membuka satu era baharu kepada seluruh masyarakat di dunia pada hari ini.

Pelbagai perkara dan perubahan berlaku secara drastik apabila munculnya IR4.0 dalam masyarakat pada hari ini.

Kodak yang pada suatu ketika dahulu menjadi nadi kepada aktiviti pengembaraan keluarga dan masyarakat, hari ini telah hilang taring dan peranannya kepada masyarakat.

Pemandu teksi menghadapi kemerosotan pendapatan apabila perkhidmatan Grab menjadi pilihan masyarakat.

Pelbagai perkara lagi akan muncul dalam masyarakat dengan perkembangan IR4.0 pada hari ini.

Realiti dan senario yang berlaku ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin terutamanya perkara yang berkaitan dengan kebolehpasaran graduan, perniagaan dan kesihatan.

Bagi tujuan itu, budaya pemikiran yang bersifat konvensional dan tradisional perlulah diubah.

Masyarakat seharusnya mampu berfikir secara luar biasa yang melepasi sebarang bentuk batasan agar segala permasalahan ini dapat diatasi dengan berkesan.

Jadikan kehadiran IR4.0 sebagai suntikan untuk memberikan semangat kepada setiap individu bagi mengemukakan cadangan-cadangan yang dianggap tidak masuk akal dapat dilaksanakan seperti memiliki syarikat teksi (Grab) yang terbesar di dunia tanpa memiliki sebuah teksi pun.

Universiti yang mempunyai jumlah pelajar paling ramai di dunia dengan kos penyelenggaraan yang paling rendah dengan cara pembelajaran online juga merupakan contoh pemikiran tanpa kotak yang menjadi realiti pada hari ini.

Masyarakat pada hari ini lebih bersedia untuk menerima sebarang cadangan dan idea tanpa memberikan pandangan yang negatif.

Dilihat pelik

Senario seperti ini sangat kondusif untuk memberikan galakan kepada ahli masyarakat membudayakan pemikiran tanpa kotak.

Dengan adanya sokongan dan kesediaan daripada masyarakat, kita mampu untuk mengemukakan pelbagai idea serta cadangan yang luar biasa walaupun sebahagian daripada cadangan tersebut mungkin dilihat pelik.

Hari ini masyarakat sudah boleh menerima wanita sebagai pemandu bas, lori ataupun pelbagai kenderaan berat yang lain.

Keadaan seperti ini tidak mungkin dapat diterima oleh masyarakat pada zaman dahulu. Keterbukaan masyarakat yang memungkinkan senario seperti ini dapat berlaku.

Oleh yang demikian, ahli masyarakat tidak perlu risau untuk membudayakan budaya berfikir tanpa kotak kerana itulah yang dinanti-nanti oleh seluruh masyarakat dalam era ketidaktentuan sosial dan ekonomi dunia pada hari ini.

Kaedah berfikir secara terhad sudah tidak relevan lagi dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 pada hari ini.

Masyarakat seharusnya membudayakan kaedah untuk berfikir secara bebas agar sebarang permasalahan yang wujud pada hari ini dan akan datang dapat diselesaikan dengan berkesan.

Dengan membudayakan budaya berfikir tanpa kotak ini, masyarakat mampu untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang mendatang seperti masalah pengangguran dan masalah sosial.

Antara hasil terkini yang dijelmakan oleh budaya berfikir tanpa kotak ialah perkhidmatan Grab, Lazada dan pelbagai aktiviti perniagaan atas talian yang lain.