Bagaimanapun, apabila membaca kejadian-kejadian di IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang yang baru dibuka bulan lalu dan memaparkan bagaimana rakyat Malaysia merosakkan dan menjadikan suasana di IKEA serta tidak selesa membuatkan penulis tergamam sebentar.

Tidak sangka rakyat Malaysia pun mempunyai sifat mementingkan diri dan berkelakukan seperti mereka yang tidak matang. Berita itu bukan sahaja menjadi tular di Malaysia malah tersebar ke seluruh dunia.

Secara tidak langsung mereka yang berkelakuan seperti kera mendapat bunga ini merosakkan imej negara kita yang dikenali sebagai rakyat yang berbudi bahasa.

Ini bukan pertama kali rakyat negara ini menunjukkan sikap buruk. Sudah banyak kejadian pernah berlaku yang memperlihatkan tingkah laku rakyat negara ini yang kurang matang.

Contohnya kejadian di AEON Tebrau, Johor tahun lalu apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam, mengumumkan akan membelanjakan setiap pelanggan sehingga RM3,000 dalam bentuk barangan.

Bagaimanapun, apabila waktu operasi ditutup pada pukul 10 malam, rakyat meninggalkan troli-troli mereka yang penuh dengan barang di merata-rata tempat.

Jualan murah

Rakyat Malaysia seperti dirasuk lalu AEON itu menjadi kucar-kacir.

Premis tersebut terpaksa ditutup separuh hari pada keesokan harinya untuk kerja-kerja baik pulih.

Begitu juga apabila setiap kali ada tawaran jualan murah, kita dapat melihat perangai buruk rakyat di negara ini. Tempat jualan murah berkenaan akan menjadi seperti baru dilanda tsunami.

Semua barang dicampak merata-rata tanpa menyedari bahawa perbuatan mereka menyusahkan orang lain.

Itu belum lagi pemberian bahan percuma. Walaupun ia hanya sekotak tisu, pasti dapat melihat bagaimana segelintir masyarakat negara ini berebut-rebut untuk mendapatkannya, walaupun barang berkenaan tidak penting untuk mereka.

Banyak lagi kejadian-kejadian buruk yang dilakukan oleh rakyat negara ini. Ia termasuklah merosakkan harta awam yang disediakan untuk kemudahan pelancong dan masyarakat seperti basikal.

Perkhidmatan ini walaupun mengenakan bayaran dan penggunaan teknologi untuk megesannya tetapi hasil ‘kreativiti’ sesetengah masyarakat di negara ini menyebabkan basikal-basikal ini hilang, dirosakkan dan peralatannya dicuri.

Perbuatan tidak mengepam tandas selepas digunakan, merampas parkir orang lain, memotong barisan semasa membayar di kaunter, tidak memberikan tempat duduk kepada yang memerlukan di tempat awam dan sebagainya juga merupakan antara perkara-perkara buruk yang dilakukan oleh segelintir rakyat negara ini.

Rakyat sepatutnya sedar bahawa salah satu sumber pendapatan penting negara ialah daripada industri pelancongan.

Setiap penduduk negara ini sepatutnya bangga kerana mempunyai sebuah negara yang dikurniakan kecantikan dan pelbagai daya tarikan yang tiada di negara lain seperti perpaduan kaum, pantai dan kawasan-kawasan peranginan yang bertaraf dunia.

Sebagai rakyat yang prihatin, seharusnya kita berganding bahu untuk membantu kerajaan menjaga kebersihan dan imej negara ini agar industri pelancongan negara akan terus maju sekali gus menarik lebih ramai pelancong asing.

Masyarakat Malaysia perlu mempunyai kesedaran dan menghargai kemudahan yang disediakan.

Jangan terlalu mementingkan diri dan mencemarkan imej negara dengan perkara-perkara remeh- temeh yang boleh menjadi tular dalam sekelip mata.

Cara pemikiran dan kelakuan rakyat negara ini perlu diubah seiring dengan kemajuan negara supaya menjadi rakyat yang mempunyai pemikiran kelas pertama.

Mungkin ada yang menyatakan perbuatan ini banyak dilakukan oleh pekerja asing dan bukan rakyat negara ini.

Bagaimanapun sebagai rakyat yang peka, adalah menjadi tanggungjawab warga Malaysia untuk menegur dan membetulkan perbuatan yang tidak beretika ini.

Kalau bukan kita yang menjaga nama baik negara ini, siapa lagi yang akan lakukannya?