Tidak seperti aiskrim berkonsepkan komersial yang banyak dijual di pasar raya dan kedai serbaneka dengan pelbagai varieti perisa, warna dan bentuk, aiskrim potong yang popular pada era 80-an dan 90-an kebiasaannya hanya boleh didapati di gerai-gerai dan kedai runcit kecil khususnya di kawasan pedalaman.

Ia dikelaskan sebagai aiskrim tempatan yang dihasilkan oleh masyarakat luar bandar terutama di kampung-kampung dengan menggunakan bahan semula jadi terutama buah-buahan.

Kini, setelah zaman berlalu, aiskrim potong semakin popular sehinggakan ia sudah boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan premis termasuk di kawasan bandar selepas beberapa syarikat pengeluar ais krim mengambil inisiatif untuk menghasilkan produk baharu menggunakan konsep ais krim potong.

Populariti

Melihat kepada populariti aiskrim potong selain mempunyai kumpulan peminat yang besar, syarikat pengeluar ais krim tempatan, Fruiti King tidak melepaskan peluang untuk turut menghasilkan aiskrim menggunakan konsep tersebut.

Diasaskan di Ipoh, Fruiti King adalah hasil idea Ketua Pegawai Eksekutifnya, Max Teh yang merupakan seorang yang sangat gemar mengembara dan menikmati keenakan makanan di seluruh dunia.

Sebagai individu yang gemarkan aiskrim, Teh mengetahui bahawa terdapat keistimewaan dan keenakan di dalam setiap gigitan ais krim potong asli yang pernah dinikmatinya selama ini.

“Bagi saya, ada sesuatu yang istimewa dalam setiap aiskrim potong kerana ia dihasilkan menggunakan buah-buahan segar untuk mendapatkan rasanya yang asli.

“Itulah yang membezakan aiskrim potong dengan aiskrim komersial di pasaran,” katanya.

Disebabkan keistimewaan tersebut, beliau memasang azam untuk menghasilkan aiskrim potong jenama sendiri sebagai pencuci mulut untuk dinikmati oleh anggota masyarakat di negara ini dengan mengekalkan konsep pembuatan aiskrim tersebut.

Menggunakan jenama Fruiti King, beliau kemudiannya menghasilkan aiskrim potong yang mengandungi rasa enam jenis buah-buahan tempatan popular iaitu durian musang king, durian, cempedak, mangga, betik dan durian belanda.

Katanya, kesemua aiskrim tersebut mempunyai rasa asli buah-buahan. Ia dihasilkan tanpa sebarang perisa dan pewarna tambahan seperti kebanyakan aiskrim komersial.

“Lebih menarik, kami turut meletakkan potongan buah-buahan pada setiap ais krim yang dihasilkan bagi membolehkan pelanggan seolah-olah merasai kenikmatan memakan buah-buahan tempatan secara segar tetapi dalam bentuk ais krim.

Pasaran antarabangsa

“Bagi mengekalkan rasanya, kami menggunakan kaedah pemotongan khas agar kesegarannya terpelihara,” katanya.

Selain aiskrim potong, Fruiti King turut memasarkan aiskrim dalam bentuk bar dan cawan dalam saiz yang lebih besar.

Pihaknya juga merancang untuk menambah variasi aiskrim kepada sekurang-kurangnya 10 jenis buah-buahan menjelang akhir tahun ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada April lalu, syarikat berkenaan berkembang pantas. Sehingga kini telah mempunyai 20 cawangan runcit di seluruh negara.

Tiga daripadanya dioperasikan sendiri oleh Fruiti King iaitu di pusat beli-belah Sunway Piramid di Petaling Jaya, Selangor, satu di [email protected], Sepang dan di pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur.

“Menjelang hujung tahun ini, kami mensasarkan untuk memiliki sekurang-kurangnya 200 cawangan runcit di seluruh negara.

“Malah, kami juga akan membuka cawangan di Hong Kong pada hujung tahun ini selain turut mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk membuka operasi di China, Singapura dan Vietnam,” katanya.

Menyentuh perancangan masa depan Teh berkata, beliau bercita-cita untuk menjadikan Fruiti King sebagai sebuah jenama aiskrim dari Malaysia yang mampu berasing di pasaran Asia dan antarabangsa.