Mula berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad pada tahun 1987, dia menjadi saksi utama kegigihan majikannya itu untuk mengangkat jenama tersebut.

Masih segar di ingatannya, dia teruja melihat kilang pemprosesan siap dibina dan jenama tersebut diperkenalkan pada tahun 1988.

Kenangan manis turun padang bersama staf serta peringkat pengurusan tertinggi mengisi barang ke dalam kontena ketika urus niaga penghantaran eksport luar negara pertama Brahim’s ke Arab Saudi pada tahun 1989.

“Semuanya bagaikan baru sahaja terjadi. Sedar tidak sedar, sudah 31 tahun saya bersama Brahim’s. Daripada dua pek hidangan sedia dimakan sehinggalah kepada perniagaan katering dalam kapal terbang serta perkhidmatan makanan dan minuman di lapangan terbang.

“Secara jujurnya, antara faktor penyebab kesetiaan saya, pastinya kerana sifat Datuk (Ibrahim) sendiri yang sentiasa mengambil berat soal kebajikan pekerja, bertolak ansur dan menjaga solat,” kongsinya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri dan 30 tahun jenama Brahim’s di Pusat Konvensyen Bangi baru-baru ini.

Latifah yang kini merupakan Pegawai Khas kepada Ibrahim pada majlis tersebut diberikan penghargaan setelah menjadi satu-satunya pekerja yang berkhidmat selama 31 tahun bersama Brahim’s iaitu sebelum jenama itu belum lagi diwujudkan.

Pada majlis sama, 64 orang pekerja yang berkhidmat antara 15 hingga 30 tahun di pelbagai peringkat dan bahagian turut diraikan dengan penghargaan berbentuk insentif dan sijil.

Sementara itu, Ibrahim ketika memberikan ucapan berkata, pihaknya menghargai sumbangan semua kakitangan di Brahim’s.

“Dalam menggerakkan sesebuah organisasi, kerjasama, pengorbanan dan dedikasi yang menyeluruh oleh semua pihak adalah sangat penting.

“Justeru, bersempena sambutan ulang tahun yang ke-30 ini, besarlah hati kami untuk meraikan para pekerja yang setia bersama kami hampir dua dekad lamanya. Sesungguhnya, tanpa mereka, tidak mungkin Brahim’s mampu menjadi jenama gah pada masa kini,” ucapnya panjang lebar.

Terdahulu, Brahim’s turut menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyumbang sebanyak RM30,000 kepada dua pertubuhan amal iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia Kajang dan Rumah Kanak-Kanak Angels Kuala Lumpur.