Pengarah Urusan Kumpulan, Nur Fatin Ibrahim berkata, Pek Kembara Brahim’s ditawarkan dalam tiga set berbeza iaitu set satu hidangan, set makanan seharian ayam dan set makanan seharian daging.

“Produk ini dilancarkan bagi memenuhi permintaan persatuan pendaki, para pengembara, pelancong dan penggemar aktiviti lasak yang mahukan set makanan mudah dibawa serta dimasak sebagai bekalan mereka.

“Ia telah diperkenalkan pertama kali pada November tahun lalu kepada peserta Cabaran Pendakian Gunung Bersama Brahim’s di Gunung Nuang, Selangor.

“Maklum balas positif yang diterima menjadikan produk ini amat sesuai untuk menembusi golongan sasaran kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada pelancaran Pek Kembara Brahim’s di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Dewina Holdings, Datin Seri Dr. Hiryati Abdullah serta Pengurus Pemasaran dan Jualan Dewina Trading Sdn. Bhd., Mohamad Fazil Othman.

Tambah Nur Fatin, Pek Kembara Brahim’s bakal menjadi rebutan kerana ia mudah disediakan melalui tiga cara berbeza menggunakan air panas, ketuhar gelombang mikro dan pek pemanas.

“Kami yakin kehadiran Pek Kembara Brahim’s memberi kemudahan daripada aspek pengurusan logistik makanan kepada pelanggan dan mereka menjadi lebih yakin kerana ia dijamin halal,” ujarnya.

Selain itu, Nur Fatin memberitahu, pihaknya turut menyasarkan untuk menjual lebih 10,000 set produk baharu keluaran mereka, Pek Kembara Brahim’s bagi setiap tahun, bermula pada tahun ini.

“Kami sudah menghasilkan produk berteknologi retort atau pembungkusan makanan yang dicipta dengan pemprosesan aseptik diperbuat daripada pelbagai lapisan fleksibel untuk kegunaan tentera selama 30 tahun.

“Kali ini, pek seumpamanya diperkenalkan kepada pengguna. Setiap pek kembara ini turut disertakan bersama snek iaitu bubur pulut hitam, biskut, jem dan set minuman serta sudu garfu.

Pek Kembara Brahim’s ditawarkan dalam tiga set berbeza dengan harga bermula RM14 hingga RM33.

Ia boleh didapati di 150 rangkaian pengedar di seluruh negara serta di kedai Brahim’s Shoppe, Bandar Baru Bangi.