Pada tahun 1990-an lalu, mereka boleh dianggap sebagai King of The Road atau raja di atas jalan raya kerana kebanyakan masa dihabiskan bersama motosikal kesayangan masing-masing.

Selain bekerja sebagai budak penghantar surat, mereka juga sering mengadakan konvoi bermotosikal ke seluruh pelosok negara pada cuti umum serta hujung minggu.

Namun, selepas lebih dua dekad, mereka berkumpul semula dan menjadikan perlawanan bola sepak persahabatan sebagai platform menjalin ikatan silaturahim yang pernah terputus suatu ketika dahulu.

Penaung Mohican, Ruslan Abdullah, 52, berkata, golongan ‘mat motor’ sering dikaitkan dengan perkara-perkara yang negatif.

“Tanggapan masyarakat terhadap mat motor tidak tepat. Kami bukan seperti yang digambarkan.

“Memang ada mat motor yang terlibat dengan aktiviti yang tidak baik tetapi itu bukan gambaran yang sebenar.

“Kami sudah lebih dua dekad terlibat dalam aktiviti permotoran. Ada antara kami yang dahulunya masih remaja kini sudah berkeluarga dan mempunyai anak atau cucu.

“Kami telah buktikan bahawa kami juga boleh berjaya seperti orang lain,” katanya sebaik tamat perlawanan bola sepak persahabatan antara kelab motosikal Mohican dan STP di Padang Sungai Pencala, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada perlawanan yang julung-julung kali diadakan itu, Mohican tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah.

Ruslan menambah, perlawanan bola sepak persahabatan itu membuktikan bahawa mat motor juga boleh bersatu dan melakukan aktiviti-aktiviti yang sihat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Riadah dan Rekreasi STP, Sharifudin Md. Basar, 37, berkata, perlawanan itu menjadi pencetus kepada kelab-kelab permotoran lain untuk melibatkan diri dengan aktiviti sihat dan beramah mesra sesama ahli.

“Saya rasa, tidak banyak kelab permotoran di Lembah Klang yang mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak seperti ini.

“Jadi, ia boleh menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan mat-mat motor.

“Saya harap, lebih banyak kelab permotoran yang akan menubuhkan pasukan bola sepak masing-masing, sekali gus menyemarakkan lagi aktiviti riadah yang sihat ini,” katanya.

Batas pergerakan

Sharifudin memberitahu, faktor usia, kesibukan kerja dan menguruskan keluarga bukan alasan untuk tidak melakukan aktiviti riadah.

Selain menyihatkan tubuh badan, aktiviti seperti perlawanan bola sepak juga dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli kelab serta rakan-rakan permotoran lain.

Sementara itu, Wan Mohd. Faizal Wanang, 37, mengakui, perlawanan itu berjaya membentuk hubungan yang harmoni antara ahli kelab.

“Selama ini, kami hanya berkumpul dan bersembang di kedai-kedai makan atau restoran mamak. Namun, hari ini kami berkumpul di padang untuk bermain bola sepak.

“Seronok melihat keletah kawan-kawan yang sudah lama tidak bersukan. Masing-masing cuba bermain dengan baik tetapi kekurangan latihan membataskan pergerakan mereka.

“Saya berharap, aktiviti yang sihat seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya.