Jawab bapanya, dia tidak mempunyai permainan kegemaran kerana dilahirkan pada zaman yang susah iaitu ketika perang dan perkara itu mengejutkan Boey.

Ayahnya pula tidak banyak bercerita mengenai kisah silam dan keluarganya.

Sehubungan itu, Boey mengambil keputusan untuk membukukan sejarah kehidupan ibu bapanya dengan menghasilkan buku bertajuk When I Was A Kid 5.

“Pada mulanya, saya ingin menulis mengenai perkara-perkara yang ayah suka buat.

“Selepas mendengar jawapannya itu, saya sedar bahawa masih banyak yang kisah hidupnya saya tidak ketahui,” cerita anak kelahiran Singapura itu.

Tambahnya, buku tersebut menceritakan perjalanan awal datuk dan nenek yang berasal dari China tiba di Tanah Melayu.

When I Was A Kid 5 membawa mesej kekeluargaan yang sangat jelas dan menjadi pengajaran yang berguna kepada masyarakat.

Antaranya, konflik yang tercetus kerana sikap tamak sehingga memecah-belahkan keluarga.

“Saya akui agak sukar untuk menulis buku ini kerana ayah bukan pencerita yang baik malah dia juga seorang pendiam.

“Lebih mencabar ialah menjadikan buku sejarah ini menarik untuk dibaca dan tidak membosankan,” tutur anak sulung daripada dua beradik itu.

Tidak mudah

Ujar Boey lagi, tidak mudah untuk meletakkan dirinya ke dalam kehidupan masa lalu ayahnya itu.

Ekoran itu, Boey mengambil masa kira-kira empat tahun untuk menyiapkan buku tersebut termasuk membuat penyelidikan.

Bercerita mengenai keunikan buku When I Was A Kid 5, Boey menggunakan ilustrasi untuk menerangkan sesuatu peristiwa dan menjadikan ia sebuah komik yang menarik serta bahan bacaan lebih santai.

Ia bertujuan supaya pembaca tidak bosan untuk meneruskan bacaan.

Justeru, buku tersebut sesuai dibaca oleh semua lapisan umur dan masyarakat.

When I Was A Kid 5 tidak hanya menceritakan sejarah keluarga tetapi turut memaparkan kisah kesengsaraan masyarakat sebelum merdeka terutamanya serangan tentera Jepun.

“Saya mahu anak muda tahu sejarah negara dan betapa sukarnya kehidupan pada zaman sebelum merdeka.

“Saya juga ingin mengingatkan tentang perjuangan orang-orang ketika itu yang mempunyai matlamat sama untuk meneruskan kehidupan,” ulasnya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Komputer, Akademi Seni, San Francisco, Amerika Syarikat.

Justeru, dia menggunakan platform sebagai penulis untuk menyampaikan mesej tersebut kepada orang ramai.

Boey berharap, buku When I Was A Kid 5 dapat menyambung kembali tali silaturahim keluarganya.

“Salah seorang adik-beradik ayah telah meninggalkan keluarga dan saya harap buku ini dapat menyatukan kami kembali.

“Saya tahu sepupu saya membaca buku ini dan mereka juga sudah mempunyai anak. Semoga naskhah ini memberitahu peristiwa sebenar kepada mereka,” katanya yang aktif menulis sejak lapan tahun lalu.

Dalam pada itu, Boey memberitahu bahawa duit jualan buku tersebut akan diberikan kepada kedua-dua ibu bapanya.