Ada dalam kalangan mereka yang sanggup bergadai harta benda dan nyawa semata-mata untuk datang ke negara bertuah ini. Malangnya, segala kenikmatan dan keistimewaan yang ada di negara ini masih tidak mampu dilihat oleh sebahagian besar masyarakat di negara ini.

Masih ramai masyarakat di negara ini yang tidak mahu bersyukur menjadi warga negara di bumi bertuah ini. Justeru, golongan ini seringkali memperlekeh, mempersenda serta mencari kesilapan dan kelemahan negara ini melalui media sosial atau sebagainya.

Berdasarkan kepada komen dan rungutan mereka, seolah-oleh negara ini merupakan negara yang paling teruk untuk didiami. Kumpulan ini juga seringkali menyanjung kehebatan negara lain dibandingkan dengan Malaysia.

Satu persoalan yang perlu dijawab oleh mereka yang sering memperlekehkan negara ini ialah pernahkah mereka tinggal atau menziarahi negara yang mereka agung-agungkan itu? Pernahkah mereka membuat analisis terhadap kehidupan warganegara yang mereka bangga-banggakan itu?

Membuat andaian dan rumusan berdasarkan kepada khabar angin atau informasi daripada satu pihak merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana ia bukan berdasarkan kepada pengalaman peribadi.

Maklumat yang diperoleh daripada pihak ketiga perlu disemak kesahihannya. Dikhuatiri ia adalah maklumat palsu yang disebarkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan peribadi atau sebagainya.

Secara peribadi, saya pernah tinggal di Amerika Syarikat (AS) selama lebih kurang 13 tahun. Saya yakin dalam tempoh tersebut saya mampu membuat rumusan yang tepat mengenai kehidupan di negara tersebut.

Rumusannya amat ringkas, I am proud to be Malaysian. Berikut adalah dua sebab utama mengapa kita seharusnya berbangga dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia:

Kemudahan infrastruktur 
kelas pertama

Saya telah melawat hampir 20 buah negara yang merangkumi pelbagai jenis negara bermula daripada negara maju ke negara dunia ketiga. Memang terdapat jurang yang besar antara negara tersebut dalam aspek kemudahan infrastruktur.

Namun jika dibandingkan dengan negara bertuah ini, Malaysia masih mampu menyatakan, kemudahan infrastruktur negara ini adalah yang terbaik. Kemudahan rehat dan rawat (R&R) di lebuh rayanya sudah cukup untuk meletakkan negara ini jauh ke hadapan daripada negara maju yang lain seperti AS dan Eropah.

Sebagai rakyat Malaysia kita patut mensyukuri dan memainkan peranan untuk memelihara kemudahan yang diberikan oleh kerajaan untuk kegunaan bersama dan masa hadapan. Jangan dirosakkan kemudahan yang ada. Contohilah rakyat Jepun yang menjaga kemudahan awam sama seperti mereka menjaga harta dan kemudahan sendiri.

Kos perkhidmatan 
perubatan yang murah

Selain itu, kos perubatan di negara ini adalah antara yang rendah sehingga ada sesetengah negara melihatnya sebagai satu perkara yang mustahil. Hanya berbekalkan RM1 masyarakat Malaysia layak mendapatkan rawatan di negara ini di klinik kerajaan yang telah disediakan.

Perkara yang berlaku di negara ini mungkin mustahil dapat dinikmati oleh masyarakat di negara lain kerana kos perubatannya terlalu tinggi sehingga menyebabkan hanya golongan yang berada atau atasan sahaja yang mampu untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Kepada golongan yang tidak mampu mereka terpaksa menggunakan kaedah lain untuk menyembuhkan penyakit mereka sama ada secara tradisional atau sebagainya.

Oleh itu, ramai dalam masyarakat di negara lain yang terpaksa membeli insurans kesihatan untuk membiayai kos perubatan yang tinggi di negara mereka.

Justeru, adalah perkara biasa kepada rakyat negara tersebut apabila seseorang pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan, perkara pertama yang akan ditanya ialah kad insurans (medical card) untuk memastikan pesakit tersebut mampu membayar bil perubatan kelak.

Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia jangan sesekali terpedaya dengan cerita indah yang berlaku di negara lain kecuali kita sendiri pernah pergi atau tinggal di negara tersebut dalam jangka masa yang panjang.

Melancong atau menziarahi sesebuah negara dalam masa satu atau dua hari tidak mampu untuk membuat rumusan mengenai keadaan sebenar tinggal di negara tersebut.

Untuk merasai keadaan sebenar tinggal di negara maju seperti AS, Jepun, England dan Jerman, rakyat Malaysia perlulah tinggal di negara tersebut dalam jangka masa yang lama sekurang-kurangnya enam bulan dan ke atas.

Selain itu, lakukan perkara yang sama kepada beberapa buah negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Laos, Kemboja, Brunei dan Filipina. Saya pasti pengalaman jangka panjang enam bulan dan ke atas berada di negara-negara tersebut akan memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia mengenai keadaan yang sebenar.

Ketika itu majoriti daripada mereka akan sedar sama ada langit itu tinggi atau rendah. Justeru, marilah kita beramai-ramai bersyukur kerana tinggal di negara bertuah ini.

Jangan mudah terpedaya dengan cerita dan khabar angin yang disebarkan melainkan kita sendiri pernah tinggal di negara tersebut.