Sejak kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, ia telah mengubah politik kita menjadi dua sisi yang saling bertentangan.

Tatkala satu pihak yang dahulunya merupakan pembangkang, kini menjadi pemerintah.

Satu pihak yang lain pula, dahulunya merupakan kerajaan, kini berubah menjadi pembangkang.

Bagaimanapun, ada satu perkara yang mungkin tidak berubah iaitu tindakan untuk mencari kesalahan pihak lawan dan menganggap diri tidak bersalah.

Hakikatnya, ia berlaku di mana-mana dan dalam semua keadaan.

Mengapa fenomena seumpama ini berlaku?

Dalam psikologi, ada dua konsep yang sering dibincangkan untuk memperkatakan mengapa manusia seringkali mencari sebab untuk menyalahkan pihak lain iaitu actor bias dan observer bias.

Dalam keadaan yang pertama, misalnya jika sesuatu kejadian buruk yang berlaku ke atas diri sendiri, manusia secara umumnya akan menyalahkan pihak lain atau memberikan alasan yang kesalahan tadi bukanlah disebabkan dirinya sendiri.

Katakan, kita terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Biasanya sangat jarang orang akan menyalahkan diri sendiri tetapi menyatakan bahawa puncanya disebabkan oleh pihak yang satu lagi atau faktor-faktor lain seperti cuaca, sifat jalan raya dan sebagainya. Ini dinamakan sebagai actor bias.

Psikologikal

Keadaan kedua pula, apabila kita melihat orang lain terlibat dengan kemalangan, biasanya kita akan mengaitkan ia dengan sifat mangsa itu sendiri. Misalnya, pemandu tadi bersikap cuai, tidak cekap memandu dan sebagainya.

Hal seumpama ini dinamakan sebagai observer bias.

Hakikatnya, hal seumpama ini berlaku setiap hari dalam kehidupan kita.

Malah, ia adalah proses psikologikal yang telah dibentuk sejak kanak-kanak lagi.

Jika berjaya dalam peperiksaan, kita biasanya lebih cenderung untuk memuji kehebatan diri sendiri.

Sebaliknya, apabila kita mendapat keputusan yang teruk, biasanya kesalahan itu akan diletakkan kepada pihak lain. Misalnya, guru tidak mengajar dengan baik atau soalan peperiksaan adalah terlalu sukar.

Berbalik kepada apa yang berlaku dalam cerita politik di Malaysia mutakhir ini, bukankah kedua-dua pihak baik yang menang atau yang kalah akan sering meletakkan beban kesalahan kepada pihak lain dan kejayaan kepada diri sendiri?

Ini tidak pula bermakna bahawa pihak yang satu lagi semestinya salah atau pihak yang satu lagi pula sewajarnya menjadi pihak yang betul.

Misalnya, apabila pendakwaan dilakukan terhadap individu tertentu yang dikaitkan dengan pentadbiran terdahulu, pihak yang menguasai pentadbiran sekarang biasanya meletakkan kesalahan tadi atas sifat atau karakter individu terbabit misalnya bersifat curang, tidak amanah ataupun boros.

Bagi pihak yang didakwa pula, biasanya akan mencari faktor yang tidak berkaitan dengan sifat mereka, sebaliknya menjadikan faktor luaran sebagai alasannya.

Misalnya ia merupakan politik balas dendam dan sebagainya.

Begitu jugalah apabila pentadbiran sekarang dikritik atas beberapa keputusan tertentu, biasanya punca kesalahan tadi akan dikaitkan dengan individu tertentu.

Kita sebagai orang awam, mungkin tidak perlulah terlalu taksub untuk menyokong atau menentang bagi menyalahkan mana-mana pihak.

Besar kemungkinan pelbagai debat atau berita politik yang muncul dalam kehidupan kita bukanlah sebenarnya bergantung kepada isi ceritanya tetapi lebih kepada proses kedua-dua bias ini.

Adakah pula bias ini sesuatu yang patut kita hindarkan?

Ia tidak semestinya begitu. Kajian-kajian menunjukkan bahawa bias ini juga adakalanya memberikan manfaat kepada manusia.

Misalnya, jika kita melakukan kesalahan tertentu dan sekiranya kita meletakkan sepenuhnya kesalahan tadi kepada diri kita, ia mungkin menyebabkan kita mengalami masalah psikologikal yang lain seperti kemurungan dan tekanan.

Kekuatan

Dengan meletakkan kesalahan kepada orang lain dan kita sentiasa berada dalam posisi yang benar, ia memberikan kita kekuatan untuk terus bertahan.

Cumanya sebagai orang awam yang biasa terdedah dengan begitu banyak berita politik tanah air, kita haruslah bersifat terbuka menilai semua perkara.

Ada hal yang dilihat baik mungkin sebenarnya adalah sesuatu yang buruk manakala yang dilihat buruk mungkin sebenarnya memberikan manfaat.

Ia bergantung kepada sejauh mana penilaian yang berlaku dalam fungsi kognitif manusia.

Jadi, siapakah yang sebenarnya bersalah?

Hakikatnya dalam kehidupan manusia, salah dan benar adakalanya sesuatu yang sangat subjektif. Ia akhirnya bergantung kepada posisi kita melihat sesuatu.