Itulah pepatah yang tepat untuk menggambarkan kejayaan Nazeri Mohd. Isa, 41, memenangi hadiah utama pada Peraduan Cielo Givi-Yuzy Racing 2017 baru-baru ini.

Dengan hanya membeli sebiji topi keledar edisi khas model M30.1 Cielo Yuzy Racing berharga RM198, Nazeri Mohd. Isa diumumkan sebagai pemenang motosikal jenama Honda RS150R versi Givi Honda Yuzy Racing Cub Prix 2017.

Motosikal yang dilengkapi dengan ekzos Leo Vince dan aksesori Racing Boy itu dianggarkan berharga RM15,000.

“Pertama sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Givi Asia Sdn. Bhd., terutamanya Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang bekerjasama menganjurkan peraduan ini.

“Saya rasa sangat bertuah dan ini merupakan satu detik yang cukup bermakna dalam hidup saya,” katanya yang bekerja sebagai orang tengah atau runner bagi mengendalikan pelbagai urusan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Timbalan presiden kelab motosikal Mohican yang menetap di Ampang, Selangor itu menambah, segala-galanya bermula daripada acara membida topi keledar yang dikhaskan kepada Shahrol Yuzy anjuran RS150 Gombaking, Lejen Motorsport dan Yuzy Racing Team pada Oktober tahun lalu.

Topi keledar istimewa itu dimenangi Bendahari Mohican, Noor Afandi Alias yang membuat bidaan sebanyak RM1,000.

Selepas itu, Shahrol Yuzy yang merupakan bekas pelumba motosikal terkenal negara menyerahkan sendiri topi keledar yang telah ditandatanganinya kepada pembeli dalam satu majlis yang diadakan Mohican di Taman Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pengumuman Nazeri sebagai pemenang adalah kemuncak kepada peraduan yang julung-julung kali diadakan itu.

Sementara itu, Shahrol Yuzy mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.

“Saya berharap hadiah motosikal itu akan menyemarakkan lagi sokongan para peminat, sekali gus lebih mendekatkan mereka kepada kami.

“Motosikal itu cukup istimewa kerana ia digunakan pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas,” katanya.

Shahrol Yuzy berkata, selepas 2,000 unit topi keledar edisi khas itu habis dijual, mereka akan mengeluarkan edisi khas kedua pada pertengahan tahun ini yang menawarkan lebih banyak hadiah untuk dimenangi peminat.