Begitu juga buat seorang guru Pendidikan Khas di ibu negara, Yasmin Firdaus, 25.

Sering menjadikan hujung minggu sebagai waktu terbaik untuk membeli-belah, Yasmin baru-baru ini berkunjung ke pusat beli-belah Nu Sentral di Brickfields, Kuala Lumpur.

Antara lokasi wajibnya ialah di Loka Malaysia (Loka), sebuah butik yang menghimpunkan lebih 60 jenama produk tempatan termasuk pakaian, aksesori, makanan, kecantikan dan kelengkapan rumah.

Tertarik dengan sisi dekorasi tropikal yang diketengahkan oleh Loka yang terletak di tingkat satu pusat beli-belah bertaraf lima bintang tersebut kira-kira setahun lalu, Yasmin tambah teruja apabila mendapati Loka sedang menganjurkan Jualan Garaj Amal.

“Saya memang gemar berkunjung ke Loka untuk mendapatkan keperluan termasuklah pakaian dan tudung. Antaranya ialah Bateklah dan Scarf. Bagi saya barangan tempatan cukup berkualiti.

“Hari ini, pastinya saya lebih teruja memandangkan terdapat pelbagai barang dijual lebih murah iaitu 10 hingga 80 peratus daripada harga biasa. Secara tidak langsung, saya juga menjadi sebahagian daripada penyumbang buat mereka yang memerlukan,” ujarnya gembira sebaik sahaja melihat barangan jualan di platform pameran produk yang disediakan.

Itu adalah antara reaksi gembira seorang pengunjung yang berpeluang membeli-belah sambil beramal di Jualan Garaj Amal kali kedua anjuran Loka.

Dianjurkan pada 27 hingga 29 Julai lalu, Loka dengan kerjasama barisan usahawan yang bernaung di bawahnya bersama selebriti dan jenama tempatan lain telah menganjurkan jualan amal untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan NurHati di ibu negara.

Berkonsepkan jualan murah dengan harga di antara RM2 hingga RM60 untuk barangan yang dijual pada tiga hari tersebut, Loka telah berjaya mengutip sebanyak RM10,000.

Penglibatan vendor

Daripada jumlah tersebut, 20 peratus hasil jualan kemudiannya disumbangkan kepada Rumah Perlindungan NurHati.

Pengarah Pemasaran Loka, Juliahayyu Mohd. berkata, penganjuran jualan amal yang sudah dilaksanakan selama dua bulan berturut-turut itu menyaksikan penglibatan lebih 20 vendor termasuk yang bernaung di bawah Loka, vendor luar dan selebriti.

Antaranya ialah produk penjagaan rambut organik; Cabello, rekaan dinamik tudung dan fesyen lelaki daripada Azhar Zainal, pakaian kanak-kanak (Paddy and Tabby) serta kimono dari Jepun (Genkimono).

Sementara barisan artis pula menampilkan nama besar seperti pasangan suami isteri Yaya Maembong dan Wan Raja, Arja Lee, Ruhainies, Cef Adu, Ieka Simone serta penata gaya merangkap pereka fesyen, Min Luna yang tampil menjual produk serta koleksi peribadi baharu dan terpakai masing-masing.

“Sebagai sebuah lokasi pemasaran produk tempatan dengan lebih 60 jenama di bawahnya, fokus utama kami adalah untuk membantu mempromosikan hasil usahawan kepada pengguna.

“Oleh kerana Loka mempunyai ruangan yang agak besar serta dilengkapi ruang khas untuk menjalankan aktiviti, jadi lebih baik ia dimanfaatkan untuk bukan sahaja tujuan mempromosi produk, malah secara tidak langsung mendekatkan usahawan dengan masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya cukup teruja dengan sokongan diberikan pengunjung sekali gus bercadang untuk menganjurkan Jualan Garaj Amal ini pada setiap hujung bulan bermula tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

Dalam pada itu, Juliahayyu turut mengalu-alukan penglibatan lebih ramai usahawan untuk bersama-sama memasarkan produk di bawah jenama Loka agar produk mereka dapat dipasarkan dengan lebih sistematik dan berkesan.

“Kami di Loka dilengkapi infrastruktur dan kumpulan kepakaran yang tinggi dalam bidang pemasaran sama ada secara online mahupun offline.

“Lokasi Loka yang terletak di pusat beli-belah popular Nu Sentral juga mengangkat jenama tempatan dengan menyediakan lokasi besar dan penuh tersusun setaraf butik jenama besar lain dengan bayaran sewa serendah RM500 sebulan sahaja lengkap dengan pelan pemasaran,” ungkapnya.