Melihat ia sebagai ‘hadiah’ sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, pengguna membuat kesimpulan bahawa kadar sifar GST itu bermakna harga barang juga akan turun kerana tiada lagi caj enam peratus seperti sebelum ini.

Rata-rata pengguna membuat perancangan untuk keluar berbelanja pada atau selepas 1 Jun.

Mereka merancang untuk berbelanja lebih dan mungkin menukar serba-serbi baharu kerana yakin harga barang akan menjadi lebih murah.

Hakikatnya, sejauh manakah kadar sifar itu akan memberi kelebihan kepada pengguna dalam soal berbelanja, jaminan bahawa harga barang akan turun serta impaknya kepada golongan peniaga?

Kuasa beli

Pensyarah Perniagaan Antarabangsa dan Perusahaan Multinasional, Universiti Hiroshima, Jepun, Prof. Madya Dr. Nurhaizal Azam Arif berkata, dalam tempoh terdekat keadaan itu akan meningkatkan kuasa beli pengguna selagi kerajaan tidak memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Kemungkinan besar harga barang akan turun dalam tempoh terdekat termasuklah kenderaan.

“Beberapa syarikat pengeluar kereta seperti Proton dan Volkswagen bertindak mematuhi harga pada kadar sifar GST dan ia secara tidak langsung akan menarik minat orang ramai untuk membeli.

“Industri atau perniagaan yang berskala besar seperti kenderaan adalah antara sektor yang bakal meraih manfaat dengan kadar baharu ini.

“Namun, selepas ini (apabila SST diperkenal semula) kuasa beli rakyat akan ditentukan oleh struktur cukai berkenaan,” katanya.

Penurunan harga barangan dan perkhidmatan bagaimanapun bergantung kepada beberapa faktor termasuk tukaran wang asing serta perubahan kos pengeluaran.

Sehubungan itu, kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik bagi memastikan harga barangan dan perkhidmatan sentiasa dalam keadaan terkawal terutamanya yang melibatkan makanan, pengangkutan, pendidikan serta perumahan.

Berkaitan kesan kadar baharu itu kepada peniaga, Nurhaizal Azam berkata, ia hanya memberi impak minimum kepada golongan tersebut, malah dijangka lebih baik kerana kos pengurusan GST dapat dikurangkan.

“Cuma untuk proses penukaran sistem GST ke SST itu nanti mungkin akan sedikit mengganggu pengurusan peniaga atau syarikat tetapi ia hanya pada peringkat awal,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Picoms International University College (PIUC), Prof. Dr. Mohamad Hanapi Mohamad pula berkata, persepsi pengguna bahawa harga barang akan turun sebenarnya amat bergantung kepada kecekapan pihak berkuasa termasuklah pengilang serta penjual yang terdiri daripada pengedar, pemborong dan peruncit untuk memastikan sistem decoding GST mereka selari dengan tarikh kuat kuasa yang ditetapkan kerajaan.

Bekas Pensyarah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu berkata, harga barang juga akan turun jika harga bahan bakar dapat dikekalkan pada kadar semasa kerana kebanyakan pengeluaran bergantung kepada situasi harga bahan bakar.

“GST memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan kerana apabila harga tinggi, sudah pasti jumlah belian akan berkurangan dan begitulah sebaliknya.

“Dengan kadar sifar GST, kos pengeluaran yang turun dan harga bahan bakar yang rendah akan memberi impak kepada harga barang yang lebih rendah serta murah berbanding sebelumnya, sekali gus menggalakkan lebih banyak kuantiti belian.

“Situasi ini berlaku kepada barang-barang yang mempunyai ciri-ciri anjal (barang asas).

“Walaupun hanya berlaku penurunan harga yang kecil, ia tetap memberi impak kepada peningkatan kuantiti jualan yang akan menguntungkan peniaga dan seterusnya meningkatkan cukai pendapatan kepada negara,” katanya sambil menambah, pemantauan kerajaan penting bagi memastikan orang ramai mendapat manfaat dengan kadar baharu ini.

Helah peniaga

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun GST akan ditetapkan pada kadar sifar, orang ramai tetap perlu berhati-hati dan tidak boros berbelanja.

Menurut beliau, tidak mustahil majoriti pengguna keluar membeli-belah pada 1 Jun lalu kerana menganggap harga barang akan lebih murah termasuklah persiapan hari raya seperti baju, kasut, kuih serta kelengkapan rumah dan perabot baharu.

“Hakikatnya, mereka masih perlu berjaga-jaga kerana meskipun ia ditetapkan pada kadar sifar, penjual atau peniaga mungkin akan memberi alasan serta helah untuk terus mengekalkan harga barang lebih-lebih lagi mereka yang tidak mendaftar GST sebelum ini.

“Selain helah untuk mengaut keuntungan, faktor terikat dengan beberapa proses GST sebelum ini juga akan mengakibatkan peniaga atau pengusaha perniagaan bertindak mengekalkan harga barangan serta perkhidmatan mereka bagi mengelak kerugian,” katanya sambil menambah, pengguna sendiri perlu berbelanja secara berhemah tidak kiralah sama ada dikenakan kadar GST ataupun tidak. – Bernama