Pun begitu, bahasa Arab sering dianggap sebagai bahasa yang sukar sehingga pakar-pakar bahasa menemukan pelbagai pendekatan untuk mempelajarinya. Salah satu yang popular ialah pengajian Al-Furqan.

Pengajian Al-Furqan merupakan satu sistem atau teknik baharu mempelajari bahasa Arab menerusi al-Quran. Ia telah berjaya membantu ribuan orang memahami kitab suci itu sejak ia diperkenalkan di radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dari tahun 2007 sehingga 2012.

Popularitinya meningkat naik apabila pengasasnya merangkap Pengarah Urusan Akademi Bahasa Arab Al-Furqan, Ustaz Nasaruddin Hasim kemudian tampil mengajar teknik itu di saluran televisyen Al-Hijrah dan Astro Oasis.

Selain itu, akademi tersebut juga mencurahkan ilmu pengajiannya menerusi kelas-kelas atau seminar-seminar di seluruh negara.

Namun, baru-baru ini, satu usaha sama telah terjalin di antara Pusat Pendidikan Berterusan (ICCE), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan akademi itu untuk membolehkan pengajian diikuti secara online dengan kepakaran teknologi ICCE.

ICCE ialah pusat pendidikan dan latihan milik penuh UIAM yang merupakan penyedia platform maya atau e-pembelajaran. ICCE telah menjadi legasi penawaran program jarak jauh universiti itu di samping latihan-latihan lain sejak tahun 2003.

Tiga tahun

Dinamakan sebagai Easy Arabic Al-Quran Al-Furqan (EAQ), pengajian itu membolehkan orang ramai dari seluruh negara mempelajari bahasa Arab menerusi al-Quran untuk diakses di hujung jari.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak telah berlangsung di UIAM, Gombak, Selangor baru-baru ini. Memorandum ditandatangani oleh Pengurus Besar ICCE, Ahmad Zikri Othman dan Nasaruddin.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi ICCE, Datuk Wira Ir. Dr. Md. Noor Salleh.

Ahmad Zikri berkata, tempoh pengajian EAQ ialah tiga bulan namun pelajar-pelajar boleh menghabiskan pengajian secepat mungkin.

“Platform itu mengandungi elemen seperti video-video pembelajaran, kemudahan sembang dan forum. Ia dibuka kepada siapa sahaja yang berminat tidak kira tua atau muda.

“Bukan sekadar pembelajaran online, pada minggu-minggu terakhir pengajian para pelajar berpeluang bertemu Nasaruddin, selain membuat penilaian kepada para pelajar.

“Setelah selesai pengajian, pelajar akan diberikan sijil tamat kursus pula,” katanya.

Ahmad Zikri berkata, selama ini, platform e-pembelajaran itu biasanya digunakan untuk pelajar-pelajar universiti tersebut yang mengikuti program jarak jauh seperti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.

Golongan muda

“Kita terfikir mengapa tidak ditawarkan platform sama untuk pihak lain mengadakan kursus-kursus pendek pula agar dapat memudahkan pembelajaran dan mendapat capaian lebih luas? Alhamdulillah, kami dipertemukan dengan Nasaruddin dan kami jemputnya untuk bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, Nasaruddin menyifatkan pelawaan ICCE itu bagai orang mengantuk disorong bantal memandangkan pihaknya memang memerlukan platform bagi menarik golongan muda.

“Selama ini, kelas-kelas saya kebanyakannya disertai oleh mereka yang lebih berusia dan warga emas. Saya berharap platform ini akan menarik golongan muda.

“Teknik yang kami ajar mudah dengan menghindari perkara-perkara yang menyukarkan pembelajaran bahasa Arab,” katanya.

Dalam pada itu, Md. Noor berkata, pendekatan mempelajari bahasa Arab menggunakan al-Quran itu bakal menjadikan kitab itu dekat dengan masyarakat.

“Rasulullah SAW pernah bersabda, cintailah bahasa Arab kerana tiga perkara iaitu kerana aku berbangsa Arab, kerana al-Quran berbahasa Arab dan kerana ahli jannah berbahasa Arab.

“Ini jelas menunjukkan galakan untuk mempelajari bahasa al-Quran itu. Semoga kerjasama ini mendapat keberkatan daripada Allah,” katanya.

Pengajian EAQ boleh diikuti sejak 23 April lalu. Maklumat lanjut, layari www.icce.com.my atau hubungi talian 03-6196 5445.