Ketika itu, Ayub, 76, dari Bukit Payung, Jertih, ditugaskan menjaga keselamatan penduduk Sarikei di Sibu semasa Sarawak mengisytiharkan darurat selama 13 hari ekoran ancaman komunis di kawasan itu.

“Seramai 12 anggota polis hutan gugur dalam tempoh tersebut. Komunis terlalu kejam. Ada yang ditembak, diseksa sehingga mati dan disembelih tanpa belas kasihan.

“Dalam tempoh darurat itu, penduduk hanya dibenarkan menjalankan aktiviti di luar rumah dari pukul 7 pagi hingga 7 malam. Selepas waktu itu, mereka tidak dibenarkan berada di luar rumah.

“Selepas itu, barulah saya dan kawan-kawan berpeluang masuk ke kampung dengan menyamar sebagai orang awam,” katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di Jertih, Terengganu baru-baru ini.

Penyamaran itu bertujuan mendapatkan maklumat mengenai komunis selain mengelak kehadiran mereka dikesan tali barut komunis dalam kalangan masyarakat.

Rintangan

Selama sedekad bertugas di Sarawak, pelbagai rintangan dihadapi Ayub dan rakan-rakannya dalam menentang ancaman komunis. Namun, ia tidak melunturkan semangat mereka untuk terus memastikan keamanan negara terus terpelihara.

“Komunis menggunakan mercun untuk mengancam kami yang bersembunyi kerana bunyi letupan mercun lebih kurang macam bunyi letupan bom, jadi dengan berbuat demikian, mereka beranggapan kami akan melepaskan tembakan rambang atau menembak sesama sendiri,” katanya.

Selain itu, beliau pernah berdepan detik cemas ketika menyertai operasi di Gunung Gading di sempadan Kalimatan Barat, Indonesia dan Malaysia apabila mereka dihujani peluru pihak musuh yang berada di atas gunung berkenaan.

“Semasa kejadian, kami berada di cerun gunung dan diserang oleh musuh yang bersembunyi di Gunung Gading. Keadaan ketika itu huru-hara dan kami terpaksa berdepan situasi berkenaan selama 30 minit dengan melepaskan tembakan bertubi-tubi secara membuta tuli kerana tidak dapat mengesan kedudukan musuh selain cuba menyelamatkan diri.

“Ada antara kami yang terpaksa terjun ke paya dan bersembunyi di sebalik pokok balak untuk mengelak ditembak, kami semua bernasib baik kerana tiada yang cedera dan kesan serangan musuh hanya menyebabkan kerosakan di kawasan sekeliling sahaja,” katanya.

Ayub juga pernah bertugas sebagai anggota Cawangan Khas (SB) semasa perjanjian gencatan senjata antara Parti Komunis Malaya (PKM) dan kerajaan Malaysia di Thailand pada tahun 1989.

Bahasa Cina

Sementara itu, Mat Husain Senik, 76, bekas polis bantuan di Bukit Abu, Kuala Krai, Kelantan memberitahu, kebolehannya bertutur bahasa Cina pasar menyebabkan beliau ditugaskan di sana bagi mengatasi masalah ancaman komunis pada pengangkutan awam.

“Pada masa itu, bahasa Cina dijadikan sebagai bahasa perantaraan oleh komunis dan pendatang Vietnam yang masuk ke negara ini. Saya ditugaskan di Bukit Abu apabila pihak atasan tahu saya boleh berbahasa Cina dan menganggap ia memudahkan saya berkomunikasi dengan komunis yang memberi ancaman dan merosakkan pengangkutan di situ.

“Ketika itu, komunis bertindak merosakkan pengangkutan awam seperti merosakkan landasan kereta api,” katanya.

Terkenal dengan panggilan Husin Cina kerana boleh bertutur dalam bahasa itu, sepanjang bertugas di Bukit Abu, beliau tidak pernah bertembung dengan komunis tetapi berdepan dengan pendatang Vietnam yang masuk ke negara ini.

Pada tahun 1978, beliau pernah berdepan dengan 320 pendatang Vietnam di Merang, Setiu yang bertindak membocorkan kapal mereka bagi mengelak dihalau keluar dari negara ini.

“Semasa berkomunikasi, saya minta mereka keluar dari negara kita. Mereka bersetuju untuk keluar tetapi memohon bantuan mendapatkan bekalan makanan dan air bersih,” katanya. – Bernama