Biarpun selama ini pereka label fesyen Tsyahmi yang mesra disapa Tengku Syahmi itu hanya meletakkan fokus terhadap segmen busana sofistikated, dia turut memendam keinginan untuk menghasilkan aksesori wanita.

Ini kerana prinsip yang didukung oleh jenama kecantikan dari Amerika Syarikat itu disifatkan sama dengan pendiriannya dalam mengusahakan jenama Tsyahmi.

Semuanya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memperkasa golongan wanita menerusi setiap rekaan yang dihasilkan.

Sejurus diberi peluang untuk mereka bentuk beg signatur kit permulaan Mary Kay itu, Tengku Syahmi tidak mengambil masa yang lama mengerah idea bagi menghasilkan Mary Kay Starter Kit Bag.

“Keseluruhan idea asal beg ini diinspirasikan daripada logo Mary Kay sendiri yang gah di persada dunia.

“Dari segi pemilihan warna pula, saya gunakan warna tema Mary Kay iaitu merah jambu lembut bagi menyerlahkan sisi feminin pemakai selain ia mudah digayakan dengan set pakaian yang pelbagai.

“Selain versatiliti, saya juga menekankan elemen praktikal beg ini kerana mahu memastikan setiap individu selesa menggayakannya bagi urusan harian,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Versatil

Mary Kay Starter Kit Bag memiliki fungsi tiga dalam satu yang boleh digayakan dalam cara yang pelbagai.

Ia boleh digayakan sebagai beg jinjit (tote), beg selimpang bertali dan beg klac tangan.

Beg penuh gaya itu didatangkan sekali dengan keperluan peralatan perniagaan asas bagi perunding kecantikan Mary Kay.

Golongan tersebut boleh menggunakannya semasa sesi rundingan kecantikan, perkongsian produk Mary Kay dan peluang perniagaan bersama prospek pelanggan.

“Saya harap rekaan ini dapat melonjakkan lagi keyakinan perunding kecantikan Mary Kay secara peribadi mahupun profesional.

“Pada masa sama, mereka juga akan tampil bergaya pada setiap masa,” jelasnya lagi.

Pengarah Pemasaran Mary Kay Malaysia dan Singapura, Karen Ng berkata, pihaknya begitu teruja kerana dapat bekerjasama dengan pereka terkemuka dari Malaysia, Tengku Syahmi pada tahun ini.

“Hasil lamaran Mary Kay bersamanya sekitar penghujung tahun lalu, beg tangan Mary Kay Starter Kit Bag akhirnya berjaya diperkenalkan baru-baru ini.

“Beg tangan Mary Kay Starter Kit Bag ini tidak seperti beg tangan yang terdapat di kebanyakan pasaran.

“Ia membolehkan para perunding kecantikan melaksanakan tugasan harian mereka dengan pantas dan mudah.

“Selain itu, ia bukan sahaja tahan lasak tetapi cukup efisien dari segi fungsi selain berkualiti tinggi,” jelasnya.

Beg tiga dalam satu itu ditawarkan kepada mereka yang berminat menjadi Perunding Kecantikan Bebas Mary Kay pada harga RM189.

Ia hadir dengan set keperluan sama ada Botanical Effects Starter Kit atau Timewise Starter Kit.