Sebaliknya, naskhah ketiga karya usahawan dan selebriti terkenal, Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar mengupas isu bankrap daripada kaca mata yang berbeza.

Buku yang bertajuk Bangkit Bila Bankrap itu turut mendapat sentuhan Abie Abdullah yang merupakan penulis dan bekas wartawan hiburan berpengalaman selama 22 tahun.

“Karya ini tidak menjurus kepada kebankrapan kewangan semata-mata tetapi yang menjadi fokus utama saya ialah muflis jiwa dan pemikiran.

“Justeru, buku ini memberi jalan keluar kepada orang yang mengalami bankrap jiwa dan pemikiran kerana ia lebih menakutkan berbanding muflis kewangan,” jelasnya yang merupakan Pengasas Kumpulan Syarikat Fizo Omar Channel.

Bangkit Bila Bankrap yang mempunyai 240 halaman itu menceritakan kisah hidup Fizo diisytiharkan bankrap pada usia 20 tahun.

Ia ekoran namanya dipergunakan oleh seseorang untuk pinjaman bank lalu mengheret Fizo ke status bankrap.

Beliau bergelut untuk membebaskan diri daripada status bankrap dan pengalaman pahit itu telah memberikan inspirasi kepadanya untuk menulis buku itu.

Bagaimanapun, beliau bangkit semula dan berjaya membina empayar perniagaan yang disegani dengan memiliki empat syarikat.

“Saya ingin mengubah persepsi orang yang berpendapat bankrap hanyalah status kewangan.

“Sebaliknya, jika mereka bankrap jiwa dan pemikiran maka, segala usaha tidak membuahkan hasil sehingga sukar untuk berjaya,” tuturnya anak kedua daripada empat beradik itu.

Menjadikan kedua-dua ibu bapanya sebagai idola, Fizo berkata, ujian yang diberikan oleh Allah sebenarnya tanda Dia sayangkan kita dan ia mengikut kemampuan hamba-Nya.

Justeru, dugaan ini harus dilihat daripada perspektif positif untuk kita bangkit selepas tersungkur.

Di dalam buku ini, Fizo mengupas beberapa perkara penting seperti rezeki, perniagaan, kekeluargaan dan keegoan.

Tambahnya, perniagaan yang bagus bermula daripada kehidupan yang baik.

Menariknya, buku yang ditulis selama 13 bulan itu dihasilkan oleh Fizo ketika berada di 100 lokasi berbeza bagi menyampaikan ceramah keusahawanan.

 

Digarap kemas

Setiap pengalaman suka dukanya digarap kemas di dalam buku itu.

“Saya berharap orang ramai mendapat manfaat daripada pembacaan buku ini.

Bangkit Bila Bangkrap bukan hanya untuk usahawan tetapi sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat kerana kandungannya merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

“Biasanya orang yang pernah jatuh akan bangkit lebih berjaya berbanding sebelum ini,” ulas bapa kepada seorang cahaya mata perempuan itu.

Menariknya, buku ini dilengkapi dengan imbasan kod respons pantas (kod QR) bagi membolehkan pembaca melihat video untuk mendalami penjelasan lebih lanjut daripada Fizo Omar tentang sesuatu topik itu.

Ujarnya yang berpegang kepada prinsip hidup by heart with passion, idea penggunaan kod QR itu kerana tidak semua orang suka membaca kerana ada yang lebih gemar mendengar.

Apatah lagi, setiap topik itu memerlukan penjelasan yang panjang dan sukar untuk dimasukkan semua di dalam sebuah buku.

Beliau yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berharap buku tersebut dapat memberi inspirasi dan pengajaran daripada kisah hidup yang telah dilaluinya.

Pada tahun hadapan Fizo bakal melancarkan buku terbaharunya yang bertajuk Bebas Bankrap.