Sama seperti mayat yang ditemui setengah jam lalu, di bawah timbunan kereta dan binaan rumah di daerah Donggala di Sulawesi, Indonesia, mayat ini juga sudah reput dengan bahagian kepala sudah tiada.

Akui Mohd. Farizzal, melihat sendiri kesan bencana tsunami dan gempa bumi yang melanda kedua daerah di Indonesia itu awal Oktober lalu membuatkannya terpaku, sayu malah insaf.

“Bencana ini sangat dahsyat. Melihat sendiri bagaimana landskap Palu dan Donggala dipenuhi timbunan sampah, bangunan runtuh, harta benda bergelimpangan serta nyawa yang melayang cukup membuatkan saya beristighfar beberapa kali.

“Saya yang melihat pun sudah berasa sedih, apatah lagi mereka yang melalui sendiri tragedi ini. Syukur, saya menjadi sebahagian yang dapat menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya yang secara kebetulan berpeluang membantu pasukan penyelamat di Sulawesi mencari mangsa yang dilaporkan hilang ketika bencana.

Mewakili Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Mohd. Farizzal merupakan antara tiga orang sukarelawan yang dihantar ke Palu dan Donggala iaitu dua penempatan di Sulawesi yang terjejas teruk bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa di sana.

Sisa binaan

Membawa bersama keperluan asas seperti beras, biskut, sabun, lampin pakai buang bayi, mi segera, air mineral dan juga khemah hasil dana berjumlah RM10,000 yang dikumpul daripada masyarakat Malaysia, kedatangan mereka disambut penuh kesyukuran oleh penduduk.

Memandangkan hampir kesemua kediaman di kedua-dua daerah itu musnah secara total, setiap keluarga yang terselamat kini berlindung di bawah khemah kecil dan daif yang didirikan menggunakan sisa binaan yang runtuh serta elemen semula jadi seperti atap rumbia.

Bercerita lebih lanjut, seorang lagi sukarelawan merangkap Ketua Media YDKMM, Lenny Noor Diana Azlan berkata, kebanyakan penduduk sangat menantikan bantuan terutamanya khemah yang lebih selesa.

“Kesemua mangsa mengharapkan bekalan makanan kerana kebanyakan mereka hanya makan sekali sehari ekoran terpaksa mencatu makanan.

“Selain itu, penduduk menyuarakan hasrat agar sumbangan khemah tambahan yang lebih luas dan selesa dapat dihulurkan buat mereka sebelum kediaman baharu dapat diusahakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Khemah yang menjadi tempat berlindung buat masa kini terlalu kecil selain tidak sempurna sekali gus membuatkan mereka berdepan dengan cuaca kesejukan melampau pada waktu malam, mendedahkan kepada penyakit selain risiko keselamatan.

Menurut penduduk, buat masa ini, tinggal di dalam khemah lebih selamat berbanding membina rumah kerana keadaan dan bentuk muka bumi yang belum disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

Selain itu, penduduk juga bimbang untuk menyediakan keperluan pembinaan rumah baharu, memandangkan kes kecurian di kedua-dua daerah semakin berleluasa. Memberi respons kepada permintaan mangsa, Pengerusi YDKMM, Ahmad Umair Zulkefli berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengumpulkan sebanyak RM100,000 lagi bagi membolehkan sekurang-kurangnya 300 buah khemah dapat diedarkan kepada mangsa pada fasa kedua bantuan nanti.

Sumbangan

Sehingga kini, YDKMM telah berhasil mengumpulkan sumbangan sebanyak RM50,000 dan bakinya diharap dapat diraih dalam masa terdekat demi mangsa di sana.

“Sejak awal lagi, pendekatan YDKMM adalah untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada mangsa di Sulawesi tanpa bantuan orang tengah agar maklum balas dan harapan mangsa di sana dapat didengar dengan lebih telus.

“Contohnya, memandangkan khemah adalah perkara yang paling diperlukan mangsa ketika ini, kita akan mengusahakan untuk ke Palu buat kali kedua memfokuskan bantuan khemah,” jelasnya.

Kongsi Ahmad Umair, kos bagi sebuah khemah berukuran 10mx10m berharga sekitar Rp 1.2 juta (RM387) setiap satu.

Mereka yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian dengan menyalurkan wang ke akuan YDKMM di CIMB (8602595687) ataupun ke akaun Maybank (564294307891).