Bagaimanapun, seiring peredaran zaman dan peningkatan kos sara hidup masa kini, perancangan melaksanakan majlis perkahwinan yang diimpikan sering berdepan kekangan kewangan sekali gus membantutkan impian hari bahagia pasangan raja sehari.

Menyedari hakikat itu, Butik Pengantin dan Kecantikan Ratu Ayu (Ratu Ayu) menawarkan pakej lengkap perkahwinan pada harga berpatutan.

Pengasasnya, Azauyah Mohd. Ridzuan, 38, berkata, sejak Ratu Ayu ditubuhkan pada tahun 2003, dia sering berjumpa dengan pasangan pengantin yang datang daripada keluarga sederhana menceritakan tentang masalah bajet untuk menganjurkan majlis perkahwinan.

“Dalam aspek ini, saya faham kesukaran mereka mencari wang, ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan saya mendapat ilham ukur baju di badan sendiri agar pasangan bakal pengantin dapat mengadakan satu majlis seperti yang diingini.

“Justeru, saya cuba tetapkan satu harga paling maksimum khas untuk mereka dengan niat utama bagi membantu pasangan ini berkahwin dan mengelakkan pembaziran wang. Inilah konsep ‘berniaga secara sejahtera’ yang saya terapkan dalam perniagaan kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Klang, Selangor baru-baru ini.

Pakej

Menurut wanita yang mesra disapa Azza itu, butik yang diusahakan mempunyai pasukan profesional yang berpengalaman dalam penganjuran majlis-majlis sedemikian. Ia termasuklah perkhidmatan katering, dekorasi pelamin, khemah, jurugambar, deejay dan unit kompang.

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan Butik Ratu Ayu untuk meraikan hari bahagia pasangan Raja Sehari iaitu pakej bajet lengkap berharga RM6,900 bagi 500 tetamu, pakej ekonomi lengkap bernilai RM12,900 (1,000 tetamu) dan pakej berbaloi lengkap RM13,990 (1,000 tetamu) dengan tambahan jurugambar, cetakan kad perkahwinan, papan tanda, banner dan rawatan kecantikan percuma bagi pengantin perempuan.

“Semua pakej ini dilengkapi khemah, katering termasuk menu di meja makan beradab, solekan dan busana pengantin. Untuk tempahan, pasangan bakal pengantin perlu membayar deposit sebanyak RM500,” ujarnya.

Sepanjang lebih sedekad menjalankan perniagaan ini, Azza sangat menitikberatkan pengurusan secara sistematik agar dapat memberi perkhidmatan berkualiti kepada pelanggannya.

“Saya berpegang pada prinsip jujur, sabar, yakin dan ikhlas dalam melaksanakan amanah pelanggan selain menolak jauh-jauh sifat negatif dalam diri.

Oleh itu, Ratu Ayu sentiasa komited memberikan servis paling maksimum dalam kesemua aspek terutamanya makanan selain pelamin dan solekan untuk pengantin.

“Dalam apa jua majlis, makanan yang disajikan merupakan perkara paling penting kerana ia ibarat kunci kejayaan sesuatu acara. Jika makanannya sedap, sudah pasti ia akan menjadi sebutan buat tetamu yang hadir sekali gus meraih kepercayaan pelanggan untuk membantu mempromosikan perniagaan kami,” ungkap Azza lagi.

Puas hati

Salah seorang pelanggan Ratu Ayu, Nur Syazana Abdullah, 25, mengakui, khidmat yang ditawarkan butik tersebut sangat profesional, berbaloi dan berkualiti.

“Alhamdulillah, melalui pakej ini, saya dan pasangan dapat melangsungkan perkahwinan lebih awal. Kami sangat berpuas hati kerana apa yang ditawarkan mereka, dilaksanakan mengikut perancangan,” tutur Nur Syazana yang memilih pakej lengkap berbaloi RM13,990 ketika melangsungkan perkahwinan pada Julai lalu.

Selain penganjuran majlis perkahwinan, Ratu Ayu turut menawarkan pelbagai pakej kecantikan untuk wanita seperti mandi susu, sauna herba, urutan tradisional dan rawatan wajah untuk golongan wanita.