Biarpun hanya mempunyai tempoh kira-kira setahun untuk menguasai subjek tersebut sebelum menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2016, namun ringkasan formula berkenaan ternyata berkesan apabila Shafiq berjaya memperoleh keputusan A dalam Matematik.

Seiring dengan kajian yang dicetuskan sejak 2010 lagi, akhirnya Abdul Ahmadil menghasilkan buku formula matematik yang digabungkan daripada silibus darjah satu sehingga enam yang dinamakan Bijak Sifir & Formula.

Sementelah, pengalamannya bergelar jurutera awam yang sering bermain dengan formula-formula matematik selama 18 tahun turut memberi kelebihan bagi menerbitkan naskhah itu.

Abdul Ahmadil berkata, idea mengkomersialkan produk dalam bentuk buku bersaiz kecil setebal 130 muka surat itu timbul selepas beliau berhasrat membantu murid-murid lain seusia anaknya.

“Mungkin sesetengah orang ramai melihat testimoni anak saya sendiri sebagai sesuatu yang bias, namun ia menunjukkan betapa kesungguhan saya yang berusaha mencari jalan bagi membantu anak sendiri untuk berjaya menguasai subjek itu.

“Justeru, saya juga ingin berkongsi ilmu berkenaan kepada anak-anak lain yang menghadapi masalah sama atau mereka yang mahu lebih cepat menguasai matematik dengan menerbitkan sebuah buku,” katanya kepada Kosmo! di Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.

Abdul Ahmadil berkata, buku Bijak Sifir & Formula terbitan Arayyan Kids berkenaan merangkumi kompilasi silibus pembelajaran semasa di negara ini bermula daripada darjah satu sehingga enam.

“Ia mengandungi koleksi formula yang diringkaskan bagi memberi pemahaman lebih mudah kepada murid sekolah rendah.

Alat bantuan

“Apa yang lebih penting, ia merupakan sebuah buku yang boleh dijadikan sebagai alat bantuan belajar dan ia disyorkan oleh guru-guru yang saya temui sendiri.

“Bahkan mengikut respons yang saya terima, ada juga pelajar sekolah menengah yang lemah dan ketinggalan dalam asas matematik menggunakan buku ini sebagai panduan,” katanya lagi.

Buku terbabit mengandungi sifir dan formula-formula bagi 20 bab termasuklah nombor, nilai tempat, simbol asas, tambah, tolak, bahagi, darab, jadual pendaraban pantas, sifir metrik dan operasi bergabung.

Turut terkandung ialah bab pecahan, perpuluhan, peratus, wang, masa dan waktu, bentuk dan ruang, koordinat, nisbah dan kadaran, perwakilan data serta kebolehjadian.

Naskhah dalam bentuk dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris itu dilengkapi dengan ilustrasi ringkas di samping suntikan warna-warni bagi menarik perhatian kanak-kanak.

Dalam pada itu, Abdul Ahmadil berkata, pihaknya menyasarkan untuk buku berkenaan dimiliki oleh kira-kira 500,000 murid sekolah di negara ini dalam tempoh setahun selepas mula diperkenalkan di pasaran pada April lalu.

“Dalam tempoh sebulan juga, sebanyak 8,000 set buku telah berjaya dijual, bahkan permintaannya melebihi keupayaan pengeluaran kita sehingga terpaksa mencari pihak pencetak tambahan.

“Bagi menjaga kualiti produk, kita memasarkan buku ini menerusi pasukan pemasaran yang akan turun ke sekolah-sekolah sambil membuat penerangan di samping jualan secara online,” katanya.

Selain buku, ia turut didatangkan dengan cakera padat (CD) yang mengandungi lebih 3,000 soalan matematik dalam peperiksaan lalu.