Pengerusi Persatuan Inspirasi Ibu Tunggal dan Wanita Kuala Lumpur (Piwani), Zubaidah Abdul Rashid berkata, ada di antara golongan tersebut tidak tahu melakukan apa-apa terutama apabila baru kehilangan atau ditinggalkan suami.

Disebabkan itu, Piwani yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu ditubuhkan bagi membantu golongan tersebut terutamanya wanita miskin bandar yang tinggal di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk bangkit memajukan diri.

“Mereka tidak tahu ingin mengadu kepada siapa dan saluran untuk mendapatkan bantuan. Ada yang ingin keluar bekerja tetapi memikirkan anak-anak tiada siapa menjaga membuatkan mereka buntu.

“Masalah sebegini turut melanda mereka yang mempunyai suami bermasalah atau jatuh sakit secara tiba-tiba. Kami nasihatkan mereka jangan tunggu, kena bergerak untuk bantu diri dan keluarga keluar dari belenggu kesusahan,” ujarnya kepada Kosmo! pada Festival Sejalur Budi Seikhlas Hati di PPR Seri Cempaka, Lembah Pantai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Zubaidah, 46, yang bergelar ibu tunggal selama 13 tahun dan tinggal di PPR Seri Pantai, Pantai Dalam begitu memahami kesulitan dan cabaran yang dihadapi golongan itu. Namun, berkat ketabahan dan usaha gigih beliau kini mampu berdikari dan membantu wanita senasib dengan caranya sendiri.

Transformasi

Beliau menambah, ilham menubuhkan Piwani tercetus hasil transformasi dirinya selepas mendapat bimbingan daripada pertubuhan bukan kerajaan Women of Will (WOW) yang telah diperkenalkan sejak tahun 2009.

“Saya sendiri dahulu hidup susah dan menyara keluarga dengan berniaga kuih-muih dan nasi lemak secara kecil-kecilan di tepi jalan. Ada satu ketika saya begitu terdesak sehingga terpaksa meminjam daripada ah long.

“Piwani sendiri sebenarnya bukannya sebuah pertubuhan yang mempunyai dana sendiri, tetapi kami bergerak dalam kumpulan kecil dan memberi pendedahan kepada mereka untuk menceburi bidang keusahawanan menerusi saluran yang betul,” ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.

Program tiga hari itu berjaya menarik penyertaan 120 peniaga termasuk usahawan wanita yang dilatih WOW. Turut diadakan aktiviti sukan, ceramah agama, pertandingan memasak dan persembahan seni oleh anak-anak PPR Cempaka.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan WOW, Zul Imran Ishak menjelaskan, melalui inisiatif WOW, peserta diberi bimbingan latihan perniagaan, teknik pemasaran, pengetahuan media sosial di samping menganjurkan kelas seperti memasak, menjahit, kraf tangan dan bercucuk tanam.

Pengajar berpengalaman

Menurutnya, projek yang dijalankan WOW memberi tumpuan terhadap golongan wanita berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di sekitar Lembah Klang selain memperluaskan usaha tersebut di Sabah.

“Objektif program itu adalah membantu peserta yang berpendapatan rendah kebanyakannya terdiri daripada ibu tunggal untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Mereka dibimbing tenaga pengajar yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran.

“Pendekatan yang diambil ialah kami sendiri akan turun padang dan bekerjasama dengan pertubuhan komuniti menganjurkan latihan dan bengkel bimbingan ini di tempat peserta untuk memudahkan mereka hadir ke sesuatu program yang dianjurkan.

“Selain itu, WOW turut menyediakan bantuan pinjaman mikro tanpa faedah untuk membantu peserta memulakan perniagaan. Tahun lalu, seramai 350 wanita telah menerima manfaat daripada program-program yang kami dijalankan,” ujarnya.