Suami isteri itu pada awalnya tidak jelas produk apa yang ingin diniagakan sehinggalah pada suatu pagi Das terpandang sebiji bantal di bilik tidur mereka.

Mereka yang sebelum ini berpengalaman sebagai jurutera awam dan pengurus resort di Kelantan mengambil keputusan untuk menjual bantal.

Berbekalkan modal wang simpanan sebanyak RM2,680 pasangan tersebut mendapatkan bekalan bantal yang selesa bertaraf hotel dengan menjual di car boot sale sekitar kawasan Parit Raja.

“Hari pertama menjual bantal merupakan momen yang sukar dilupakan kerana sejak pukul 3 petang hingga Maghrib tidak satu pun terjual sehingga kami hampir berputus asa.

“Saya hanya mampu berdoa dan mengharapkan keajaiban daripada Allah SWT, apatah lagi ketika itu kami berdua sudah berhenti kerja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran DAG Home di One Serambi Cafe, Shah Alam baru-baru ini.

Bantal terjual

Mata Das mula berkaca melihat anak keduanya yang ketika itu berusia 44 hari dan memikirkan nasib keluarga mereka sekiranya perniagaan tersebut gagal. Dalam suasana suram itu, doa mereka akhirnya dimakbulkan apabila berjaya menjual 30 biji bantal selepas waktu Maghrib.

Bermula detik itu, pasangan tersebut tidak menoleh ke belakang dan mengorak langkah untuk mengembangkan sayap perniagaan.

Syarikat tersebut terkenal dengan tagline, ‘Ingat DAG, Ingat Bantal Hotel! itu menggunakan spesifikasi bantal seperti di hotel yang sangat selesa dan tahan lasak.

Selain bantal, DAG juga menyediakan semua kelengkapan tidur termasuk tilam, selimut dan cadar.

Muncul sebagai syarikat bumiputera yang mengusahakan perniagaan bantal hotel dengan jenama sendiri, DAG berjaya meraih jualan sehingga 400,000 unit dalam tempoh dua tahun beroperasi.

Siapa sangka perniagaan yang mulanya diusahakan daripada car boot sale itu kini mempunyai gudang sendiri yang mampu memuatkan 20,000 stok bantal dalam suatu masa serta mempunyai lebih 1,300 wakil jualan di seluruh Malaysia termasuk di luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Menariknya, wakil jualan juga berpeluang memenangi kereta Ford Ranger sebagai ganjaran di atas kerja keras mereka.

Terkini, syarikat tersebut melancarkan produk DAG Home merangkumi bantal, tilam, tuala dan sarung bantal dengan rekaan lebih menarik serta berwarna pastel.

Produk terbaharu itu berbeza dengan DAG Hotel yang berwarna putih dan rekaan minimalis tetapi sesuai untuk kegunaan yang lasak dan selesa.

“Kami bermatlamat untuk melahirkan seramai mungkin usahawan berjaya, maka produk DAG dijual melalui ejen sahaja dengan tujuan untuk berkongsi rezeki bersama mereka.

Bulu itik

“Bagi ejen DAG Hotel mereka perlu membayar RM825, manakala ejen DAG Home pula serendah RM300,” jelasnya.

DAG mempunyai beberapa jenis bantal yang berbeza spesifikasinya iaitu Polyester Helix-DAG, M Series-Microfiber, H-Class, Memory Foam dan Down Feather yang merupakan bantal organik yang diperbuat daripada bulu itik serta diimport khas dari luar negara.

“Produk kami sangat selesa dan berkualiti tinggi, bersifat tahan lasak, tidak berdebu dan antialergi.

“Harga ditawarkan sangat berpatutan iaitu serendah RM35 hingga RM280 bagi DAG Hotel dan RM40 hingga RM50,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

Das bersyukur, pengalaman bertugas di resort sebelum ini banyak membantu untuk mengenali jenis serta ciri-ciri bantal hotel terbaik.

Di samping itu memudahkan urusan untuk mendapatkan bekalan bantal dan memasarkannya.