Berbeza dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) biasa, kumpulan 26 orang pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Sawadee itu memilih negara jiran sebagai lokasi pilihan.

Selepas beberapa bulan perancangan rapi, Sawadee akhirnya memilih Madrasah Jamiul Khairi, Betong, Thailand sebagai lokasi program CSR mereka. Program yang berlangsung selama tiga hari itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik.

Pengarah program, Muhammad Fauzun Azim Ghazali berkata, seramai 26 orang pelajar PJJ menjayakan program tiga hari itu, dari 14 hingga 16 September lalu dengan tema Pautan Kasih Melestarikan Ukhuwah.

“Beberapa aktiviti diadakan antaranya membersihkan kawasan sekitar pusat madrasah dan kawasan kampung setempat, mengecat pusat madrasah, membersihkan surau dan gotong-royong.

Gembira

“Aktiviti memasak dan sukan bersama pelajar-pelajar madrasah dan orang kampung, acara sukan bersama pelajar dan memberi sumbangan kepada pusat madrasah.

“Program ini adalah projek tahun kedua bagi memenuhi keperluan kursus KodVKMB 2041 iaitu Pembangunan Masyarakat IV,” katanya.

Program CSR itu dirasmikan oleh penyelaras program, Zulhairi Zakariah yang juga pensyarah universiti tersebut.

Turut hadir wakil Kedutaan Thailand, pengetua madrasah, ketua kampung, wakil pegawai tentera, wakil pegawai polis daerah dan penduduk Kampung Betong, Thailand.

Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Ale Sallahuddin, 72, melahirkan rasa gembira apabila kumpulan pelajar UUM sanggup mengadakan aktiviti gotong-royong di rumahnya.

Menurut Imam Masjid Charopathai, Kholed Dohata, pelajar di Madrasah Jamiul Khairi, Betong berdepan dengan masalah kekurangan dana membeli peralatan untuk kegunaan pelajar.

“Program seperti ini dapat memberi semangat kepada para pelajar di sini untuk belajar bersungguh-sungguh dan membuka mata mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Ketua Kampung Charopathai, Tarmizi Salang berkata, warga kampung menghargai khidmat bakti sosial yang telah dijalankan oleh pelajar UUM.

“Daripada warga tua hingga kanak-kanak, semuanya gembira. Ini kerana bukan mereka saja beri sumbangan untuk baiki kerosakan madrasah, malah murid sekolah dapat bantuan alat tulis, buku dan pakaian sekolah.

“Lebih menggembirakan, ada aktiviti menarik diadakan bersama murid dan penduduk kampung” katanya.

Pegawai Polis dan wakil kedutaan dari Thailand, Riduwan Salam berkata, program pelajar UUM di madrasah ini memberi harapan kepada mereka dan penduduk kampung yang sememangnya mengharapkan bantuan.

“Apabila saya mendengar berita bahawa ada pelajar dari Malaysia mahu datang bagi bantuan, kami semua gembira kerana ini adalah kali pertama mereka ke perkampungan ini.

“Ada beberapa kemudahan telah dibaiki seperti gelanggang sepak takraw, mengecat semula madrasah dan membersihkan halaman sekeliling yang telah lama terbiar, malah mereka juga bantu memberi peralatan serta barangan seperti alat tulis, papan putih, al-Quran, pakaian, sejadah dan buku-buku untuk kegunaan pelajar.

“Saya berterima kasih kepada pelajar UUM dan pihak universiti kerana memilih madrasah di perkampungan ini,” katanya.