Jika setiap hari memang bagus. Seminggu sekali pun dah kira ok atau sekadar pada bulan puasa untuk mencari pahala berlipat ganda.

Manusia secara umum terbahagi kepada dua kumpulan iaitu beriman atau kafir. Ini klasifikasi dari kaca mata agama menurut Quran.

Orang yang beriman dan melakukan amal soleh kelak dimasukkan ke tempat yang paling baik iaitu syurga.

Mereka yang kafir pula akan dimasukkan ke tempat yang paling buruk iaitu neraka. Mereka menjadi kafir kerana mendustakan atau menolak kebenaran Quran dan kitab-kitab Allah sebelumnya.

Semua orang tahu hal ini tetapi anehnya lebih ramai di dunia ini memilih kehidupan yang akan membawa mereka ke neraka.

Mereka ini termasuk golongan yang berketurunan Islam. Mereka bersikap acuh tak acuh terhadap ajaran yang terkandung dalam Quran.

Mereka tidak berminat untuk membaca Quran. Jika membaca pun sekadar untuk mencari pahala dengan hanya membaca teks bahasa Arab tanpa memahami isi kandungannya.

Azimat

Dalam surah al-Baqarah ayat 2 hingga 3 Allah menyatakan: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Allah ghaib. Syurga dan neraka juga termasuk dalam perkara ghaib. Malah Rasulullah juga sudah wafat dan ghaib pada zaman ini.

Yang tidak ghaib ialah kitab Quran. Boleh dikatakan di semua rumah orang Islam terdapat sekurang-kurangnya senaskhah kitab Quran. Ramai yang menyimpannya sekadar azimat.

Hanya sebilangan kecil umat Islam yang membacanya untuk mendapat taufik dan hidayah daripada Allah supaya berada di jalan yang lurus atau sekurang-kurangnya jalan kanan.

Dalam surah al-Waqiah ayat 7 dan 8, Allah mengkategorikan manusia dalam tiga puak pada hari kebangkitan selepas kiamat kelak.

Dan kamu pula menjadi tiga puak. Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?”

Mereka ini akhirnya akan menjadi penghuni syurga, tetapi akan melalui proses perbicaraan di mahkamah Allah terlebih dulu.

Berada dalam kalangan manusia yang berjumlah trilion-trilion ketika itu, pasti puak ini juga cemas menunggu giliran untuk dihisab.

Dalam surah al-Waqiah ayat 9, Allah menyebut: “Dan puak pihak kiri; alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?

“Mereka adalah penghuni neraka yang dibangkitkan di akhirat nanti dalam keadaan muka hitam.

Dalam surah az-Zumar ayat 60 Allah menyatakan: “Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah - muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur?”

Kelompok yang paling bertuah ialah puak yang dipanggil supaya berjalan lurus ke depan antara trilion-trilion manusia kelak dengan senyuman dan muka bersinar penuh cahaya.

Mereka akan terus masuk ke syurga tanpa dihisab dosa dan pahala mereka semasa di dunia.

Seperti yang dinyatakan dalam surah al-Waqiah ayat 10 hingga 14: “Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);

Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah), (Mereka tinggal menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat. Sekumpulan besar mereka daripada umat manusia yang terdahulu; Dan sebilangan kecil daripada orang-orang yang datang kemudian.”

Bilangan manusia pada akhir zaman adalah jauh lebih besar daripada zaman dahulu, namun dari segi nisbah penduduk, bilangan yang akan menuju ke jalan yang lurus ini amatlah sedikit.

Mudah faham

Sebaliknya mereka yang tidak tergolong sebagai puak istimewa ini agak ramai yang menunaikan solat lima waktu dan memohon kepada Allah sekurang-kurangnya 17 kali sehari supaya ditunjukkan ke jalan yang lurus.

Dalam surah al-Fatihah ayat 6 Allah menyatakan: “Tunjukilah kami jalan yang lurus.”

Peta jalan yang lurus itu terkandung dalam Quran. Lalu mengapa kita tidak mahu membaca dan memahami Quran? Quran diturunkan untuk seluruh manusia, bukannya untuk golongan ustaz dan imam-imam sahaja.

Ia mudah difahami kerana sudah ada terjemahan dalam pelbagai bahasa. Dan sesiapa pun akan suka membacanya sekalipun setiap hari. Syaratnya kita hendaklah menjadi ‘orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami (Allah) berikan kepada mereka.’