Di Pantai Timur hidangan tersebut bukanlah hidangan utama.

Bagaimanapun, bagi mereka yang berkunjung ke Kuala Terengganu, Terengganu boleh menikmati masakan tersebut di Kedai Asam Pedas Legend.

Umum mengetahui keenakan asam pedas bergantung kepada teknik memasak dan bahan dipilih selain pelbagai jenis ikan yang boleh digunakan.

Bagi pemilik Asam Pedas Legend, Baharuddin Mamat, 62, mengekalkan aroma, menggunakan bahan-bahan mentah yang segar dan disediakan oleh tukang masak terbaik merupakan antara elemen penting yang diutamakan.

“Malah, kita turut mementingkan layanan mesra kepada pelanggan dan keaslian menu yang dihidangkan pada harga berpatutan.

“Soal keuntungan pula saya letakkan sebagai agenda kedua kerana mahu memberikan kepuasan kepada pelanggan dengan menyediakan hidangan asam pedas enak yang sememangnya sukar ditemui di negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Selain asam pedas, gerai yang mula diusahakan sejak Januari lalu itu turut menghidangkan menu ikan patin masak tempoyak.

Katanya, sambutan diterima daripada pelanggan juga amat menggalakkan kerana rata-rata mereka mengakui sukar untuk mendapatkan hidangan asam pedas asli yang memenuhi cita rasa mereka.

Tambah Baharuddin yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang perniagaan itu, pelbagai jenis ikan diperoleh segar setiap hari di Jeti Pulau Kambing selain pengusaha tempatan dari Manir, Kuala Terengganu.

“Bagi menu tempoyak, kita hanya menyajikan dua jenis pilihan kepada pelanggan iaitu ikan baung dan patin.

Resipi asli

“Hidangan asam pedas pula merangkumi 10 pilihan jenis ikan seperti ikan merah, pari, mayong dan kembung.

“Tukang masak pula memperuntukkan masa kira-kira dua jam untuk mendapatkan kepekatan kuah asam pedas yang dimahukan,” kata anak jati Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu itu.

Menurut Baharuddin, dia mempelajari teknik penyediaan resipi asam pedas yang enak tanpa menggunakan pes masakan ketika menetap di Johor suatu ketika dahulu.

Jelas Baharuddin, walaupun hanya menyediakan dua menu setiap hari, kualiti, rasa dan keaslian masakan sentiasa dijaga selain mengambil kira respons daripada para pelanggan.

Katanya lagi, hidangan ikan asam pedas yang disediakan mampu dijual sehingga 20 kilogram setiap sehari pada harga antara RM10 hingga RM20 bagi setiap hidangan.