Warung yang terletak di Kampung Parit 6 1/2 Timur, Sungai Besar, Sabak Bernam itu menyajikan martabak durian yang pastinya sukar ditemui di tempat lain. Ia juga satu-satunya gerai yang menawarkan menu istimewa itu di daerah terbabit.

Sambil menikmati aroma dan kelazatan martabak durian itu, pelanggan dihamparkan dengan pemandangan sawah padi yang menguning di sekeliling gerai berkenaan.

Pemilik warung tersebut, Mohd. Asri Homdan, 50, berkata, warung yang terletak di hadapan rumahnya itu dibuka Disember lalu.

Menurutnya, menu martabak durian itu bagi memberi kelainan kepada pelanggan untuk menikmati makanan tradisi martabak.

“Sebenarnya idea membuat martabak durian ini telah lama iaitu kira-kira 10 tahun lalu. Ia bermula apabila rakan saya iaitu seorang penjual durian memberikan saya beberapa biji buah durian untuk dijadikan isi martabak.

“Bagi memenuhi permintaannya, saya buatkan martabak durian tersebut dan dia amat gembira dan puas selepas menikmatinya,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Mohd. Asri, sejak itu, dia hanya membuat martabak durian untuk dimakan sendiri atau ahli keluarganya sehinggalah ia diperkenalkan kepada orang ramai sempena pembukaan warungnya itu.

“Cara penyediaan martabak durian ini sama sahaja seperti martabak pisang atau nangka. Bezanya hanya pada isi martabak itu.

“Isi durian disapu rata pada doh tepung yang telah ditebar sebelum dimasak dan dihidang panas kepada pelanggan,” katanya.

Istimewanya, ketika dimasak martabak itu mengeluarkan aroma durian yang harum, sekali gus menarik minat orang ramai untuk menikmatinya.

Sambutan

Katanya, sejak menu itu diperkenalkan, sambutan orang ramai menggalakkan terutama penggemar martabak.

“Dalam sehari kira-kira 30 keping martabak durian dipesan pelanggan dan jumlah itu meningkat sekali ganda pada hujung minggu,” katanya.

Jelasnya, pada masa sekarang stok isi durian agak mudah diperoleh. Bagi memastikan menu itu dapat disediakan di luar musim buah durian, Mohd. Asri memberitahu, dia memproses isi durian menjadi lempok durian.

“Saya menawarkan harga RM2 untuk sekeping martabak durian ini. Selain itu, saya juga menyediakan martabak pisang, nangka, ayam dan daging mengikut permintaan pelanggan.

“Harga bagi martabak pisang ialah RM1.60 dan martabak nangka RM1.80 sekeping manakala martabak ayam dan daging masing-masing RM3 sekeping,” katanya.

Mohd. Asri memberitahu, gerainya yang beroperasi setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 11 malam itu juga menyediakan menu sarapan pagi seperti nasi lemak dan masakan panas bergoreng dengan harga serendah RM3.50 sepinggan di samping roti canai RM1 sekeping.