Cuma, ia tidaklah membawa naratif bahawa calon yang pro Pakatan Harapan telah mula bertapak dan calon pro Barisan Nasional telah disingkirkan dalam pilihan raya kampus pasca Malaysia Baharu kini.

Apa yang penulis hendak kisahkan ialah tentang roh demokrasi pasca Malaysia Baharu yang kini semakin subur sedang berlaku dalam pilihan raya kampus bagi memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) khususnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seiring dengan perubahan landskap politik di peringkat nasional.

PRK di UKM pada 11 Oktober lalu menyaksikan 77 orang calon bertanding untuk merebut 39 kerusi dengan tahap peratusan keluar mengundi yang tinggi mencecah 76 peratus.

Di atas kertas, setiap calon bertanding adalah atas kapasiti individu selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

Keseimbangan

Namun mereka sebenarnya mewakili lima parti atau kumpulan tertentu yang mewarnai pertandingan merebut kerusi fakulti dan umum kali ini.

Keputusan PRK yang diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya. Dr. Roslee Rajikan sekitar pukul 11.30 malam kali ini menyaksikan semua parti atau kumpulan yang bertanding berjaya memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi, sekali gus menggambarkan wujudnya keseimbangan suara perwakilan dalam semua 39 kerusi keseluruhan yang dipertandingkan.

Hampir semua kerusi menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Antara parti yang dikatakan mencuba nasib kali ini adalah Inspirasi yang menang 9 kerusi, Demokrat (6 kerusi), Revolusi Mahasiswa (8 kerusi), Republikan (12 kerusi) dan juga Bebas (4 kerusi).

Parti yang ditubuhkan oleh kalangan pelajar ini membawa idealisme dan aspirasi tertentu selain memudahkan proses mobilisasi jentera kempen serta pengenalan identiti kepada bakal pengundi.

Keadaan ini jauh sekali berbeza dengan apa yang berlaku tahun lalu apabila 38 daripada 39 kerusi yang dipertandingkan didominasi oleh sebuah kumpulan sahaja.

Justeru, apa impaknya kepada landskap politik kampus ketika ini?

Sejarah telah membuktikan dalam suasana bahawa masyarakat sivil mempunyai kuasa yang jelas untuk meluahkan pandangan secara bebas dan berjaya memperoleh sokongan majoriti, demokrasi yang matang dapat dilahirkan sekali gus mewujudkan situasi semak dan imbang yang lebih mantap.

Sebelum ini, persoalan politik kampus sangat sensitif untuk dibincang dan dikendalikan.

Ia pastinya disebabkan oleh kewujudan pelbagai bentuk undang-undang dan senggatan yang secara langsung mampu mempengaruhi keputusan corak pengundian.

Timbul juga persepsi bahawa wujudnya tangan ghaib yang sedaya upaya cuba untuk mempengaruhi golongan pelajar untuk menyokong parti-parti tertentu yang mendominasi politik massa di luar kampus.

Dalam erti kata lain, mesti sokong parti itu dan parti ini! Cuma keputusan kali ini tidak mencerminkan landskap politik nasional.

Ia lebih kepada perjuangan idealisme dalam kalangan mahasiswa yang kini lebih bebas menyuarakan pandangan demi kebaikan dan kebajikan mereka.

Kini tiada lagi kedengaran kononnya ada pelajar yang akan dihalang untuk mendapat penginapan di kolej atau dianaktirikan dalam hal-hal berkaitan sekiranya menyokong parti-parti tertentu.

Proses pendaftaran

Namun, pastinya ia bukanlah salah pihak pentadbir universiti kerana mereka perlu menjalankan tugas berdasarkan garisan dan undang-undang yang disediakan.

Selepas berlakunya perubahan rejim pemerintahan di peringkat negara, kesan limpahannya juga turut dirasai semua calon dan kakitangan yang terlibat dalam proses PRK kali ini di UKM.

Kini semua sudah pun berlalu.

Dengan kehadiran ahli MPP pelbagai partisan ini pasti akan mewujudkan situasi semak dan imbang yang lebih berkesan demi kebaikan pelajar.

Cuma penulis ingin memberi cadangan bagi memantapkan dan merancakkan PRK pada masa akan datang.

Pihak universiti perlu ‘menghalalkan’ proses pendaftaran parti-parti politik yang bertanding berbanding pertandingan atas kapasiti individu sebagai cerminan kepada realiti politik nasional.

Ini bermakna penggunaan logo parti perlu dinyatakan di atas poster dan kertas undi bagi memudahkan pengundi memilih.

Cadangan agar PRK pada masa akan datang perlu dilakukan oleh sebuah badan bebas dalam universiti itu bagus.

Namun, agak sukar untuk memastikan siapakah badan bebas itu. Adakah mereka benar-benar mampu mengendalikan PRK dalam kapasiti pengundi yang besar serta urusan pentadbiran yang rumit? Hanya masa yang akan menentukan.