Contohnya, pokok anggerik atau orkid liar daripada keluarga tumbuhan Orchidaceae.

Pokok jenis itu biasanya tumbuh meliar pada tanah yang dikenali sebagai orkid tanah atau Terrestrial orchid.

Selain itu, ada juga yang tumbuh melekat pada batang atau ranting pokok lain dalam hutan belantara.

Malah, ada juga yang mudah didapati daripada belukar belakang rumah di kampung-kampung seperti pokok getah dan durian.

Salah satu jenis yang boleh ditanam sebagai tanaman hiasan ialah pokok orkid atau anggerik harimau yang mudah didapati secara percuma daripada belukar atau hutan belantara.

Ia merupakan spesies Grammatophyllum speciosum yang berbunga cantik lagi menarik.

Selain menjadi tumbuhan liar di negara ini, pokok itu juga dikatakan tumbuh meliar di beberapa negara lain seperti Singapura, Vietnam serta kepulauan Jawa, Indonesia.

Pokok itu boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian melebihi dua meter.

Daun pokok bunga itu pula berbentuk panjang dan tirus di hujung serta tumbuh ke arah hujung batang pokok.

Menariknya mengenai pokok anggerik liar itu ialah ia memiliki lima kelopak bunga.

Setiap kelopak berlatarbelakangkan warna kuning tua dengan tompokan atau belang berwarna perang kemerahan seakan-akan belang harimau jika dipandang dari jauh.

Oleh sebab itulah, ia lebih popular dikenali sebagai orkid atau anggerik harimau.

Pokok itu mengambil masa yang agak lama untuk berbunga sehingga menjangkau masa beberapa tahun.

Namun, bunga anggerik harimau dikatakan dapat bertahan mekar dalam jangka masa melebihi satu bulan.

Pokok yang matang mengeluarkan beberapa tangkai bunga menjulur ke atas.

Terdapat lebih 10 kudup bunga tumbuh di sepanjang tangkai bunga itu dan akan berkembang secara bergilir-gilir.

Oleh itu, kecantikan kuntuman bunga yang berkembangan boleh dinikmati pada jangka masa yang agak lama.

Pokok orkid liar itu senang ditanam dan dijaga kerana ia agak tahan lasak serta boleh tumbuh secara semula jadi menggunakan bahan seperti air hujan, nutrien organik serta pendedahan kepada cahaya matahari seperti habitat asalnya.

Pembiakan:

Ia mudah dibiak menggunakan belahan rumpun pokok.

Kaedah penanaman:

1Potong rumpun pokok kepada beberapa rumpun lebih kecil yang mengandungi batang dan tunas anak pokok.

2Tanam setiap rumpun pada tanah atau dalam pasu yang bersaiz besar.

Gunakan bahan organik atau kompos yang diletakkan dalam serat kelapa sebelum ditanam pada tanah atau dalam pasu yang besar.

Penjagaan:

1. Ia memerlukan pendedahan kepada cahaya matahari yang banyak untuk pertumbuhan subur dan menggalakkan proses pembungaan.

2. Siram dua kali sehari pada hari panas dan semburkan juga pada daun. Siram hanya perlu pada hari hujan.

3. Gunakan baja organik seperti najis ayam atau kelawar atau baja kompos lain yang siap diproses.

Anda juga boleh menggunakan baja khas untuk tanaman orkid yang boleh dibeli daripada pusat tanaman dan ikutilah syor kegunaannya.

Idea pameran:

Pokok ini sesuai ditanam dalam pasu dan di tanah.

Ia sesuai ditanam menghiasi taman yang bertema tropika atau Nusantara. Ia nampak cantik seperti di alam semula jadinya iaitu di hutan tropika.