Tambahan pula di kawasan yang sedang membangun, pilihan untuk lokasi kulinarinya juga terhad atau mungkin tertumpu kepada beberapa jenis menu seperti nasi campur atau makanan mamak.

Menawarkan menu makanan fusion dalam konsep medan selera moden, Food Monger di Tamarind Square, Cyberjaya bakal memberikan pengalaman kulinari berbeza di samping kepelbagaian pilihan makanan di bawah satu bumbung.

Menurut pemiliknya, Mohd. Naufal Abd. Latif, 33, idea Food Monger bermula menerusi minatnya dalam dunia kulinari dan pada masa sama mahu membantu peniaga-peniaga makanan tempatan untuk menyediakan ruang membuka cawangan.

“Konsep kita lebih kepada medan selera mini tetapi versi moden. Kita bukan sahaja membuka restoran dengan dapur utama (Food Monger) tetapi juga menawarkan tapak berniaga untuk peniaga-peniaga francais atau kecil.

“Pembukaan Food Monger di Cyberjaya merupakan peluang buat kami untuk memenuhi keperluan kulinari penduduk di sini yang mana mereka boleh mendapatkan makanan viral di Kuala Lumpur berdekatan dengan kediaman mereka,” katanya ketika ditemui K2 pada majlis pembukaan Food Monger di Cyberjaya baru-baru ini.

Tambahnya, selain menyediakan kepelbagaian menu, konsep moden Food Monger juga diterjemahkan menerusi dekorasi restoran yang luas dan selesa bagi menempatkan kira-kira 220 pengunjung pada satu masa.

Menu

Menerusi Food Monger, terdapat kira-kira 25 menu yang ditawarkan kepada pengunjung menerusi tiga pecahan iaitu set nasi, nasi goreng advance dan nasi goreng premium.

Menu set nasi menawarkan pelbagai variasi lauk masakan panas antaranya creamy buttermilk chicken, saucy salted egg squid rice dan stir fry honey blackpaper beef yang dijual pada harga bermula RM10 hingga RM19.50.

Bagi pengunjung yang ingin memenuhi cita rasa mewah, pilihan menu nasi goreng premium menawarkan sajian nasi goreng udang kara ditawarkan pada harga RM69.50.

Tidak ketinggalan pilihan menu lain antaranya nasi goreng roasted beef ribs, kepah berlada, honey garlic chicken dan fish and chips yang ditawarkan bermula pada RM29.50 hingga RM49.50.

Bagi pilihan menu nasi goreng advance, pengunjung boleh memilih antara lima sajian seperti nasi goreng foodmonger, lamb berdiri, seafood atau deep sea, hawaii dan petai berantai pada harga bermula RM10 hingga RM23.50.

Selain menu daripada dapur utama Food Monger, pengunjung juga berpeluang menikmati makanan daripada vendor yang menawarkan sajian snek yang viral.