Ketika dibuka pada Mei 2010, restoran yang terletak di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu itu hanya menawarkan makanan segera seperti burger dan roti John.

Tidak lama kemudian, pemilik P Foods Station, Nik Ahmad Syafizzaq Nik Abd. Razak, 33, mengorak langkah lebih jauh apabila menyediakan satu per satu menu masakan panas tempatan, Thailand, sup dan sate.

Perkataan P dipilih pada pangkal nama restoran itu kerana ia merupakan panggilan Nik Ahmad Syafizzaq dalam kalangan rakan-rakannya.

Menurut graduan jurusan Kejuruteraan Elektrik, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu, dia mula membantu kedua-dua ibu bapanya mengusahakan kedai kek dan roti sebelum memulakan perniagaan sendiri sejurus menamatkan pengajian.

“Kesukaran mendapatkan kerja dalam jurusan yang dipelajari mendorong saya menjual roti John dan burger secara kecil-kecilan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Terengganu.

“Saya juga seorang yang suka mencabar diri. Jika ada pelanggan memuji keenakan roti John di gerai lain, saya rasa tercabar dan mengambil kata-kata itu sebagai pemangkin untuk menyediakan sajian yang lebih berkualiti.

“Begitupun, saya bukanlah seorang pakar dalam bidang masakan. Saya belajar sedikit demi sedikit sehingga mampu menyediakan aneka sup seperti sup tulang lembu, tulang kaki lembu (gear box), lidah, ekor, belut termasuk burung puyuh yang dijual dengan harga antara RM7 hingga RM20,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pelbagai pilihan sup yang disediakan oleh Nik Ahmad Syafizzaq di P Foods Station merupakan resipinya sendiri, sekali gus menjadi keunikan yang mampu menarik pelanggan untuk terus berkunjung ke gerai tersebut.

Istimewa

Jelasnya, rahsia keistimewaan sup yang disajikan terletak pada bahan utama iaitu bekalan daging dan tulang lembu tempatan yang diperoleh daripada pembekal tetap di daerah itu.

“Saya amat mementingkan kualiti sajian yang dihidangkan kepada pelanggan supaya mereka mampu menikmati keaslian rasa makanan itu.

“Saya akan pastikan bekalan bahan mentah yang digunakan mestilah segar. Jika pembekal tidak dapat menyediakan daging dan tulang lembu tempatan seperti yang diminta, saya tidak akan menyajikan hidangan sup pada hari tersebut.

“Sajian sup yang enak semestinya menggunakan daging lembu tempatan kerana sup yang dimasak menggunakan daging import kualitinya sangat berbeza terutamanya dari segi rasa serta warna kuah itu sendiri,” kata anak jati Losong, Kuala Terengganu itu.

Nik Ahmad Syafizzaq berkata, selain sajian sup, menu yang sering mendapat sambutan daripada pelanggan ialah hidangan belut, lidah lembu goreng kunyit, burung puyuh goreng, ikan siakap masak tiga rasa dan tulang lembu masak namprik pau.

Tambahnya lagi, hidangan belut yang disediakan mampu dijual antara 18 hingga 20 kilogram (kg), 30kg tulang lembu dan 30 tulang kaki lembu dalam tempoh seminggu.

P Foods Station boleh memuatkan sehingga 250 pelanggan.