Ketika belajar di negara itu, bapanya sanggup mengorbankan puluhan ribu ringgit bagi menunaikan hajat si anak hanya satu mempunyai impian iaitu melihat Amirul pulang sebagai seorang guru agama atau ‘pak syeikh’ yang mampu berdakwah untuk ummah.

Namun, sehebat mana pun perancangan manusia hakikatnya ia tidak mampu menandingi kehebatan Allah dalam mengatur setiap perjalanan hidup hamba-Nya. Begitu jugalah perancangan Allah buat Amirul yang berjaya menghasilkan karya pertamanya, Young Chef In The House.

Siapa sangka, di sebalik kejayaannya mempelajari ilmu al-Quran dan mendalami bahasa Arab di Sudan, anak muda ini rupa-rupanya memiliki bakat memasak yang diwarisi daripada ibunya, Raudzah Roslan.

Perkara itu diakui oleh guru yang memeliharanya di sana, Abla Ibtisam Yassin. Menurut wanita itu, sepanjang tiga tahun menjadi ‘warga’ Sudan, Amirul mempamerkan minat memasak yang luar biasa.

Soleh

“Tidak seperti anak lelaki lain, Amirul begitu gemar membantu saya di dapur selain rajin bertanya cara-cara penyediaan sesuatu makanan yang akan dimasak,” kata Abla Ibtisam yang dipetik daripada bukunya, Seminggu Di Syurga.

Rentetan daripada itu sebaik pulang ke tanah air, Amirul menyuarakan hasrat untuk mengikuti pengajian di Akademi Seni Kulinari Malaysia bagi mendalami ilmu masakan secara profesional.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ayah dan mama membenarkan saya mempelajari ilmu kulinari. Tetapi mereka memberi pesanan agar saya menanamkan tekad untuk menjadi seorang cef yang soleh.

“Selain itu, saya percaya setiap perkara yang kita lakukan kerana minat, Insya-Allah, akan jadi mudah. Setiap pagi saya bangun dan bersedia untuk ke akademi tanpa rasa malas dan bosan. Kemudian, saya akan bercerita kepada mama tentang pengalaman di kelas dan cuba memasak di dapur mama pula berdasarkan silibus yang dipelajari,” ujar Amirul ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Keterujaan Amirul sepanjang 1,260 jam belajar di akademi terkemuka itu membuatkan dia mahu berkongsi ilmu kepada khalayak. Kelebihan ternyata memihak kepada Amirul memandangkan ibu bapanya merupakan penulis yang sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Panduan

“Saya tidak pandai menulis, namun dorongan dan bantuan ayah serta mama menjadikan buku ini berjaya berada di rak-rak jualan. Mama bersungguh-sungguh merangka dan membina konsep buku ini selain mencari rujukan tambahan bagi setiap menu yang dipersembahkan.

“Bahagian yang paling seronok ialah menyediakan masakan. Saya memilih sendiri menu yang mahu dipaparkan. Ia mudah dan pantas menjadikannya sangat sesuai untuk golongan remaja di luar sana.

“Selain menu masakan, buku ini mempunyai rohnya yang tersendiri dalam menjentik hati pembaca agar merenungi kebesaran Allah dalam setiap takdir yang ditetapkan buat kita selaku hamba.

“Justeru, saya berharap Young Chef In The House mampu menjadi panduan dan pedoman buat anak-anak muda dalam mencorak impian dan cita-cita berlandaskan keredaan Allah dan restu kedua-dua ibu bapa,” kongsi Amirul mengenai kelebihan buku itu.

Diterbitkan oleh Must Read Sdn. Bhd. buku ini sudah terjual melebihi 3,000 naskhah di pasaran.

Ia menjadi antara buku terlaris ketika menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 April hingga 6 Mei lalu.