Yayasan Sunbeams Home merupakan sebuah rumah kebajikan yang terletak di Ampang dengan menempatkan kanak-kanak kurang bernasib baik.

‘Bersenjatakan’ raga, kira-kira 30 kanak-kanak berumur antara lima hingga 10 tahun begitu teruja mengosongkan rak-rak di kedai tersebut yang terletak di dalam kompleks beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya.

Diserikan dengan kehadiran badut, kanak-kanak tersebut turut disajikan dengan pelbagai permainan dan kuiz.

Berasaskan konsep Supermarket Sweep, iaitu satu rancangan permainan TV klasik, kanak-kanak itu dibenarkan untuk memenuhkan raga dalam tempoh masa seminit.

Barangan kanak-kanak dengan karakter-karakter kartun daripada Justice League seperti Superman, Batman, Supergirl dan Wonder Woman menjadi kegemaran mereka.

Setiap karakter mempunyai rangkaian produk tersendiri termasuk syampu dua dalam satu, mandian kepala ke kaki, cucian badan yogurt dan buih mandian.

Bath & Kids merupakan kedai yang dimiliki syarikat AmLion iaitu pembuat produk-produk penjagaan diri terkemuka yang mengeluarkan hampir 80 jenama barangan di lebih 30 buah negara.

Pengarah Urusan AmLion, Datuk Lance Koek berkata, sebagai syarikat yang diasaskan dengan nilai-nilai kekeluargaan, mereka mahu menyebarkan kasih sayang dan menunjukkan kepada kanak-kanak bahawa mereka tidak dilupakan.

“Bath & Kids ini dibuka beberapa hari lalu, tetapi kami masih belum membuat pelancaran utama. Keutamaan kami adalah untuk membawa kebahagiaan kepada kanak-kanak ini,” katanya.

Menurutnya, program itu merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial dan korporat AmLion bagi tahun ini.

Menerusi aktiviti berkenaan, AmLion mahu meningkatkan kesedaran tentang pentingnya tabiat penjagaan kebersihan diri, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

“Kami komited untuk mendidik dan menggalakkan kanak-kanak tentang pentingnya amalan penjagaan kebersihan diri yang baik.

Justice League tidak perlu diperkenalkan lagi. Siapa yang tidak membesar dengan Superman dan Batman? Kewujudan karakter-karakter kartun ini akan memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk mementingkan penjagaan diri yang baik,” katanya.