Isu pembaziran wang dan tenaga perlu diberi perhatian serius.

Projek dan aktiviti yang dirasakan akan mendatangkan pembaziran dinilai semula untuk mengelakkan kerugian yang besar kepada negara.

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga tidak terkecuali dalam usaha untuk membantu kerajaan penjimatan kewangan.

Bagi mencapai matlamat tersebut, UPSI telah mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan zero defect.

Idea asal mengenai konsep dan pelaksanaan zero defect itu telah diilhamkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin.

Pelaksanaan itu dapat membantu UPSI mengelakkan pembaziran, malah inisiatif tersebut berjaya meningkatkan kualiti dan keberkesanan tanggungjawab dalam kalangan warga kerja universiti.

Bertitik tolak daripada itu diharapkan lebih banyak lagi agensi dan institusi dalam negara ini mengambil inisiatif yang sama agar zero defect diamalkan dalam kehidupan pekerjaan.

Sebab utama

Terdapat tiga sebab utama mengapa UPSI membuat keputusan merealisasikan agenda zero defect. Pertama ialah projek pembangunan disiapkan ikut jadual, keberkesanan kerja meningkat dan membudayakan sikap bertanggungjawab.

Sejak pelaksanaan zero defect, segala projek yang bakal atau yang sedang dilaksanakan akan dipantau sepanjang masa untuk mengelakkan sebarang kelewatan.

Pelaksanaan zero defect di bahagian pembangunan ialah memastikan setiap projek dijalankan perlu siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Pemantauan yang ketat dan berterusan daripada pihak pembangunan UPSI mampu memastikan semua projek yang dilaksanakan berjalan mengikut jadual.

Sekiranya terdapat sebarang unsur kelewatan dikenal pasti, tindakan pencegahan akan diambil segera sebelum terlewat.

Impak positif daripada pelaksanaan tersebut jelas membantu pihak UPSI melakukan penjimatan yang banyak.

Penjimatan yang berlaku bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi paling utama ialah penjimatan masa, tenaga dan sumber-sumber yang lain.

Zero defect juga mampu meningkatkan keberkesanan tanggungjawab warga kerja UPSI.

Ini adalah disebabkan setiap perkara yang telah dirancang akan dikawal selia sebaik mungkin bagi memastikan matlamat dan tugasan yang diberikan dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, pelaksanaan zero defect membolehkan warga kerja UPSI fokus dengan kerja yang dilakukan, sekali gus meningkatkan kualiti sesuatu kerja yang dihasilkan.

Ironinya ialah produktiviti organisasi dapat di perhebatkan dari semasa ke semasa.

Tanggungjawab

Secara tidak langsung pelaksanaan zero defect dapat mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam dunia pekerjaan.

Perkara tersebut dapat melatih setiap warga kerja menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan disiplin walaupun tanpa pemantau daripada pihak atasan.

Dalam jangka masa panjang, cara kerja tersebut mampu menjadikannya sebahagian daripada budaya kerja dalam kalangan warga kampus.

Sikap bertanggungjawab sebegini akan memberikan kebaikan kepada universiti kerana pelbagai penjimatan masa, wang dan tenaga dapat dicapai dengan jayanya.

Pelaksanaan zero defect berjaya memberi impak positif kepada agensi yang melaksanakannya.

Ia membolehkan setiap perkara yang dilakukan dilaksanakan mengikut perancangan.

Justeru, isu yang berkaitan dengan pembaziran disebabkan kelewatan kerja dapat dielakkan.

Selain itu pekerja yang terlibat akan memberikan sepenuh komitmen dan tanggungjawab untuk memastikan semua tugas disempurnakan mengikut jadual.